KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersedia bekerjasama dengan sektor swasta bagi mempergiat usaha promosi batik berasaskan serat nanas sehingga ke pasaran antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penglibatan pihak swasta amat penting dalam membangunkan industri batik berasaskan serat nanas, termasuk membantu menaik taraf pusat-pusat kraf supaya lebih moden, interaktif dan berdaya saing.
Katanya lagi, kerjasama itu juga dapat membuka ruang kepada penghasilan produk batik yang mempunyai nilai komersial tinggi serta mampu menarik minat pasaran global.
“Kita mahu menjemput sektor swasta untuk bersama-sama berbincang dan berkongsi idea bagaimana industri ini boleh diperkasakan. Melalui kerjasama tersebut, kita boleh membantu menaik taraf pusat-pusat kraf agar lebih moden, interaktif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita akan bekerjasama untuk memastikan batik berasaskan serat nanas ini dapat diketengahkan sebagai produk yang mempunyai nilai tinggi dan berpotensi menembusi pasaran global,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai apakah bantuan kementerian dalam usaha mempromosi batik nenas yang boleh diperkenalkan di peringkat antarabangsa kerana mesra alam dan nilai kualitinya tinggi kepada negara.
Terdahulu, Aminolhuda berkata, Malaysia merupakan antara pengeluar utama nanas di Asia Tenggara dengan pengeluaran mencecah kira-kira 530,000 tan metrik untuk eksport, sekali gus menyediakan sumber bahan mentah yang besar bagi penghasilan serat nanas.
Katanya, batik yang dihasilkan daripada serat nanas mempunyai ciri hampir menyamai sutera, termasuk kilauan semula jadi, selain bersifat mesra alam, tahan lasak dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi. – UTUSAN










