Kebakaran Pasar Borong Selangor: Tiada mangsa terperangkap bawah runtuhan 

Kebakaran Pasar Borong Selangor: Tiada mangsa terperangkap bawah runtuhan 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ashrul Riezal Asbar melakukan pemeriksaan di lokasi kebakaran yang melibatkan beberapa premis kedai berhampiran Pasar Borong Selangor di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pemeriksaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di premis kebakaran di Pasar Borong Selangor di sini mendapati tiada individu terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kerja-kerja pemeriksaan serta punggahan sisa bahan yang terbakar selesai dijalankan petang tadi sekali gus mengesahkan tiada mangsa ditemukan di lokasi kejadian.

“Kerja-kerja punggahan sisa bahan bakar selesai dilaksanakan kira-kira pukul 5 petang dan hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa ditemukan.

“Tapak insiden kemudian diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran Negeri untuk tindakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya hari ini.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6 petang selepas semua anggota dan jentera kembali ke balai masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, Unit K9 bomba telah dibawa ke lokasi bagi mengesan sekiranya ada mangsa terperangkap.

Dua ekor anjing pengesan terlatih milik jabatan itu, Rusty dan Sam, tiba di lokasi kejadian dengan menaiki kenderaan khas dan dipakaikan but pelindung.

Anjing-anjing tersebut iaitu baka Cocker Spaniel dan English Springer Spaniel kemudian memulakan pencarian di celah-celah sisa kebakaran bagi pembantu pegawai forensik mengesan petunjuk yang boleh membantu menentukan punca kebakaran.

Selain itu, bomba menggunakan jengkaut bagi mengalihkan timbunan sisa kebakaran susulan terdapat petunjuk bahawa premis berkenaan pernah dijadikan tempat tinggal, bagi memastikan tiada mangsa.

Kebakaran yang berlaku malam tadi memusnahkan beberapa premis perniagaan di kawasan pasar berkenaan dengan api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN