Kapal MV Berkat Tuah kes penganiayaan komersial - Utusan Malaysia

Kapal MV Berkat Tuah kes penganiayaan komersial

BAKI lima kru kapal MV Berkat Tuah yang kini hampir sembilan bulan terkandas di Teluk Parsi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kru, syarikat pengendali dan pemilik kapal MV Berkat Tuah didakwa menjadi mangsa penganiayaan komersial sehingga mengakibatkan anak-anak kapal terkandas lebih setahun di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penderitaan yang dialami adalah disebabkan syarikat pengendali berhadapan kekangan dana meruncing.

Krisis berpunca daripada tindakan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang menahan kapal itu dan mengingkari perintah mahkamah berhubung liabiliti kewangan.

Dynamic Navigation Sdn. Bhd. selaku syarikat pengendali menjelaskan, kegagalan mereka menyalurkan dana menyebabkan pihaknya terpaksa menanggung bebanan kos sehingga kehabisan sumber kewangan.

Pengarah Urusannya, Azman Mohamad berkata, syarikat itu menahan kapal menerusi tindakan mahkamah di Sharjah, UAE dan sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keperluan serta gaji anak kapal.

“Pihak mahkamah sepatutnya melepaskan kapal tersebut daripada tahanan susulan kegagalan syarikat berpangkalan di Singapura itu menjalankan tanggungjawabnya. Namun, penahanan masih berterusan biarpun peguam pengendali telah memfailkan permohonan pelepasan beberapa kali sebelum ini.

“Kami pada awalnya telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai untuk memohon bantuan perundangan serta diplomatik demi menegakkan keadilan.

“Permohonan tersebut menemui jalan buntu apabila pihak konsulat mengklasifikasikan kes berkenaan di bawah kategori pertikaian komersial swasta yang berada di luar bidang kuasa mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azman berkata, keengganan pihak lawan mematuhi arahan mahkamah di UAE telah mengubah senario daripada isu komersial biasa menjadi suatu bentuk pelanggaran undang-undang serta ketidakadilan yang nyata.

“Masalah terbesar yang dihadapi para pelaut adalah gangguan emosi dan mental akibat tempoh penahanan yang terlalu panjang tanpa sebarang sumber pendapatan.

“Ketiadaan gaji telah menjejaskan kelangsungan hidup waris dan keluarga kru di tanah air secara drastik, walaupun keperluan asas harian seperti bekalan makanan dan bahan api kapal masih ditanggung oleh pihak syarikat insurans,” katanya.

Azman menegaskan, terdapat unsur penganiayaan komersial yang terancang iaitu cubaan untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan penguatkuasaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN