PUTRAJAYA: “Setiap kali kami nampak kereta polis atau motosikal peronda, kami akan kejar.”
Demikian kata Fatin Nabila Mohd. Amin, 30, ibu kanak-kanak autisme Tahap 3, Muhammad Firdaus Al Fattah Faris Izuddin, 8, ketika menceritakan minat luar biasa anaknya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, minat itu mula disedari ketika Firdaus berusia enam tahun selepas sering melihat kereta peronda membuat rondaan di kawasan kediaman mereka di Seksyen 32, Shah Alam.
Katanya, pada mulanya dia dan suami tidak memahami mengapa Firdaus akan menangis setiap kali kenderaan polis hilang daripada pandangan kerana ketika itu anaknya masih belum pandai bercakap.
“Suami saya cakap mungkin kami kena bawa dia dekat polis. Sejak itu, setiap kali jumpa polis kami akan kejar, sama ada kereta peronda atau motosikal polis, asalkan dia dapat tengok.
“Kalau anggota polis lambai dari jauh pun dia sudah gembira, tetapi yang paling dia suka ialah dapat bersalam dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan Khas Kanak-Kanak Autisme ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed menyantuni adik Muhammad Firdaus untuk merasai kenderaan milik PDRM dan merealisasikan impian kanak-kanak itu bersalaman dengan anggota polis.
Firdaus hadir berpakaian lengkap uniform polis merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Bukit Naga itu disahkan menghidap autisme Tahap 3 serta ketidakupayaan intelektual dan kini menjadikan anggota serta aset PDRM sebagai sumber kegembiraannya.
Fatin Nabila berkata, minat mendalam terhadap PDRM turut memberi perubahan positif kepada tingkah laku Firdaus yang sebelum ini sering mengalami ‘meltdown’ dan sukar mengawal emosinya.
“Kalau dia ‘meltdown’, saya akan bawa dia ke balai polis kerana di situlah terapi dia.
“Itu sahaja yang saya mampu buat kerana saya tidak berkemampuan menghantar dia ke terapi swasta yang kosnya agak mahal,” katanya.

Menurutnya, pakar sebelum ini mencadangkan Firdaus menjalani beberapa sesi terapi bagi membantu perkembangan dirinya, namun kos yang mencecah ratusan ringgit bagi setiap sesi menyebabkan keluarganya tidak mampu meneruskannya secara konsisten.
Tambahnya, selepas beberapa kali berpeluang bertemu anggota polis, Firdaus menjadi lebih tenang dan perubahan sikapnya turut disedari oleh ahli keluarga serta guru di sekolah.

Beliau berharap masyarakat dapat memahami keadaan kanak-kanak autisme dan tidak mudah menghukum mereka hanya kerana tingkah laku yang berbeza daripada kanak-kanak lain.
“Saya cuma berharap suatu hari nanti dia dapat berdikari sendiri tanpa bergantung kepada ibu dan ayah kerana itu sudah cukup membahagiakan kami,” katanya. – UTUSAN










