MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 5,069 kilogram (kg) sirip ikan yu dianggarkan bernilai RM8.36 juta termasuk duti dan cukai dalam satu operasi di Pelabuhan Klang, Selangor, awal bulan ini.
Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, rampasan itu membabitkan 180 guni sirip ikan yu yang ditemukan dalam sebuah kontena selepas pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat pada 2 Julai lalu.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kontena berkenaan diikrarkan sebagai Fish Skin (kulit ikan) di bawah kod tarif 0511.91 3000 yang dikenakan cukai lima peratus.
“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal mendapati kontena itu sebenarnya mengandungi 180 guni berisi 5,069kg sirip ikan yu yang sepatutnya diikrarkan di bawah kod tarif 0302.92 000 serta tertakluk kepada kadar cukai 10 peratus.
“Import sirip ikan yu juga memerlukan pemeriksaan dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Perikanan Malaysia selaras dengan peruntukan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES),” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Melaka, di sini hari ini.
Roslan berkata, nilai dagangan sirip ikan yu itu dianggarkan RM7.60 juta dengan cukai sebanyak RM760,275.18, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM8,363,026.98.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati muatan dalam kontena berkenaan gagal diikrar dengan betul dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa serta mengurangkan pembayaran cukai sebenar.
“Kontena terbabit telah disita dan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran telah ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, sebuah syarikat tempatan yang beralamat di Selangor kini sedang disiasat, manakala pengarah syarikat sedang dikesan bagi membantu siasatan lanjut.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tak berkastam atau barang larangan. – UTUSAN










