KULAI: Masyarakat diminta untuk tidak menyalah tafsir kenyataan dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung dakwaan kerjasama dengan Pas, sebaliknya melihatnya ia berdasarkan realiti politik semasa.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian Onn Hafiz itu tidak membawa sebarang maksud yang bersangkut paut dengan isu kaum, tetapi hanya menjelaskan kedudukan politik BN di Johor, ketika ini.
“Saya fikir realiti politik harus diterjemahkan dalam apa juga keadaan. Sudah tentu Datuk Onn Hafiz tidak bermaksud demikian.
“Apabila dengan sebuah parti lain yang kita tidak bersama-sama dan tidak berhajat untuk membentuk kerajaan, ia tiada kaitan dengan apa-apa dasar perkauman. Parti politik adalah parti, ini tidak libatkan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena program Himpunan Munajat yang diadakan di Bandar Putra, di sini hari ini. Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Onn Hafiz merupakan seorang pemimpin yang sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dibuat termasuklah sebarang kenyataan yang dikeluarkan.
“Beliau daripada segi sahsiah, perilaku dan peribadinya seorang yang sangat berhati-hati, lembut serta bijaksana dalam menangani isu.
“Saya tidak fikir perkara itu harus dijadikan isu penting menjelang beberapa jam lagi sebelum pengundian,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Onn Hafiz berkata BN Johor tidak akan bekerjasama dengan Pas sekiranya beliau dilantik semula menjadi Menteri Besar sekiranya gabungan itu memenangi PRN Johor Ke-16, esok.-UTUSAN










