PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Johor termasuk yang berada di perantauan menggunakan kuasa memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi kepentingan negeri.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, PH telah membuktikan keupayaan mentadbir Kerajaan Madani menerusi pelaksanaan reformasi penting, peningkatan pelaburan dan kenaikan gaji.
Katanya, kerajaan turut menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bermaruah selain menyelesaikan pelbagai masalah serta projek yang sekian lama tertangguh.
“Kita juga berjaya memulihkan imej Malaysia yang kini kembali dihormati dan diyakini di persada antarabangsa. Semangat pembaharuan dan tadbir urus inilah yang akan kita bawa untuk mengangkat Johor ke tahap yang lebih tinggi.
“Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor.
“Justeru dengan penuh rendah hati dan hormat, saya memohon saudara dan saudari memberikan kepercayaan kepada PH untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, pilihan raya ini merupakan peluang kepada rakyat Johor untuk menolak pihak yang mempertahankan pencuri wang rakyat, selain politik yang muflis idea dan bergantung kepada hasutan kebencian kaum serta agama bagi meraih undi.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan supaya Johor dikurniakan kepimpinan yang amanah serta dapat membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh rakyatnya. – UTUSAN










