PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap mana-mana pihak yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya walaupun kesalahan itu melibatkan rakan sekempen.
Katanya, tindakan saman akan dikenakan terhadap individu yang didapati melanggar peraturan berdasarkan bukti rakaman video tular tanpa mengira latar belakang politik.
“Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen Pakatan Harapan (PH) di Johor. Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.
Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius isu tular melibatkan sekumpulan petugas kempen PH termasuk daripada DAP yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika kempen PRN Johor.
Katanya, pendirian beliau berhubung perkara itu jelas dan konsisten sejak membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu.
“Tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian termasuk calon dan petugas kempen PH. Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” katanya. – UTUSAN










