KULAI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media tempatan yang membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 secara profesional, adil dan seimbang.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan tersebut wajar diteruskan pada beberapa pilihan raya lain yang akan diadakan dalam waktu terdekat, sama ada di Negeri Sembilan, Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya ucapkan terima kasih kerana pengamal media sosial telah memainkan peranan yang cukup penting dalam mempromosikan calon-calon kita. Tidak kurang juga yang melakukan sebaliknya, tetapi kita ucapkan terima kasih juga kerana dengan adanya isu-isu itu kita dapat membalas.
“Lebih lagi, kami ucapkan terima kasih adalah kepada rakan-rakan para wartawan daripada media perdana, media elektronik atau media cetak.
“Saudara saudari semua, sama ada yang berada di lapangan atau di stesen masing-masing di ibu pejabat, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih. Kali ini amat berbeza kerana liputannya cukup seimbang dan sangat profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena program Himpunan Munajat yang diadakan di Bandar Putra, di sini hari ini. Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Ahmad Zahid turut memberitahu, pihaknya akan menggunakan tempoh berkempen selama beberapa jam yang masih berbaki ini untuk menyantuni pengundi Johor yang baharu pulang dari perantauan untuk mengundi, esok.
“Kita akan teruskan kempen sampai pukul 12 tengah malam, ini jam-jam terakhir, ini pecutan kita untuk pastikan calon-calon BN menang dalam PRN Johor kali ini.
“Jika kita ikhlas, Allah akan bersama kita. BN bukan parti bermusim, sebaliknya BN adalah parti politik yang berkhidmat tidak mengikut musim,” tambahnya.-UTUSAN










