JELEBU: Barisan Nasional (BN) yakin mampu memperoleh kemenangan selesa bagi membentuk kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan sokongan yang diterimanya hasil lawatan ke beberapa kawasan di seluruh negeri sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, beliau telah memulakan gerak kerja seawal sebelum penamaan calon dan meneruskannya sepanjang tempoh kempen termasuk mengadakan lawatan mengejut ke beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya dapati penambahan sokongan dalam kalangan rakyat di seluruh negeri ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik dan luar biasa.
“Saya harapkan sokongan mereka ini dapat diterjemahkan pada 1 Ogos nanti, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas Walkabout Rumah Pengundi India di Taman Simpang Pertang, Jelebu hari ini.
Jalaluddin yang juga calon BN bagi DUN Pertang berkata, sokongan itu bukan sahaja diterima daripada pengundi Melayu, malah turut menunjukkan peningkatan dalam kalangan masyarakat Cina, India, Orang Asli serta pengundi muda dan pengundi kali pertama.
Katanya, perkembangan itu merupakan petanda yang baik kepada BN menjelang hari pengundian.
“Saya yakin pada 1 Ogos nanti rakyat akan memberikan mandat penuh kepada BN untuk membolehkan BN menubuhkan kerajaan pada malam 1 Ogos, Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, beliau kini menumpukan kempen di beberapa kawasan menerusi lawatan secara berulang khususnya di DUN Pertang bagi mendapatkan mandat baharu daripada pengundi.
“Sambutan yang diterima setakat ini memberi semangat bukan sahaja kepada saya, malah kepada calon-calon BN di beberapa DUN yang saya lawati.
“Semua jentera dan calon BN diingatkan supaya memastikan penyokong serta pengundi keluar mengundi seawal dan seramai mungkin pada hari pengundian Sabtu ini,” katanya. – UTUSAN









