RANTAU PANJANG: Intipan selama seminggu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan membawa kepada pembongkaran sebuah bangsal terpencil yang dijadikan stor penyimpanan 640,000 batang rokok putih pada 29 Jun lalu.
Serbuan pukul 10.45 malam Kampung Kubang Bulat, Gunung, Bachok, dekat sini itu membawa kepada rampasan berjumlah RM577,280 termasuk duti dan cukai.
Pengarah Kastam negeri Mohd. Hisham Mohd. Nor berkata, pemeriksaan di dalam bangsal itu menemukan 640,000 batang rokok putih yang disimpan di dalam 64 peti.
Katanya, siasatan awal mendapati rokok tersebut diseludup masuk ke negara ini melalui laluan laut dan sungai sebelum disimpan di bangsal.
“Sindiket menjadikan bangsal tersebut sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan kepada pelanggan. Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam operasi itu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Penguat Kuasa JDKM Cawangan Rantau Panjang, di sini hari ini.
Mohd. Hisham berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok seludup yang dibawa masuk itu untuk pasaran tempatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau antara RM100,000 hingga RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. – UTUSAN










