NARATHIWAT (THAILAND): Peningkatan insiden keganasan di Selatan Thai berisiko menjejaskan proses dialog damai antara kerajaan dengan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), meskipun rundingan itu kekal menjadi dasar utama ke arah mencapai keamanan.
Pemantau dialog damai bagi pihak Kerajaan Thailand, Wan Muhammad Noor Matha berkata, proses itu berdepan cabaran kerana masih terdapat pihak yang menyokong dan menentang rundingan, sama ada dalam kalangan kerajaan mahupun kumpulan pemisah.
Katanya, proses itu adalah kaedah terbaik untuk mencapai keamanan, namun tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melanggar undang-undang perlu dilaksanakan secara serentak bagi mengelak keadaan keselamatan terus meruncing.
“Berdasarkan penilaian semasa, rundingan kekal sebagai salah satu kaedah mencapai keamanan manakala langkah-langkah untuk menangani mereka yang melanggar undang-undang mesti dilaksanakan secara serentak untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti kumpulan mana yang terlibat melakukan keganasan yang menyebabkan lima anggota renjer terbunuh baru-baru ini. Terpulang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai penguatkuasaan Undang-Undang Tentera 1941 di Wilayah Narathiwat, beliau berkata, akta itu bersama Dekri Darurat bukanlah peraturan baharu, sebaliknya telah lama dikuatkuasakan di Selatan Thai.
Katanya, pihak berkuasa turut perlu bertindak tegas terhadap kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah kerana ia berpotensi menyumbang kepada pergolakan di wilayah berkenaan.
“Oleh itu, kita mesti mengambil tindakan serentak dan menyiasat semua pihak yang terlibat. Jelas sekali bahawa wilayah yang mengalami keganasan adalah wilayah yang mempunyai tangkapan pengedaran dadah yang ketara.
“Pada masa yang sama, negara jiran mengawasi keadaan dengan teliti. Penyeludupan termasuk bahan bakar juga melibatkan keuntungan besar, jadi kita mesti mengambil tindakan tegas terhadap apa sahaja yang dianggap haram dan berbahaya kepada orang ramai,” katanya. – UTUSAN










