Idris Jala disahkan hidap kanser paru-paru tahap tiga

Idris Jala disahkan hidap kanser paru-paru tahap tiga

IDRIS JALA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Idris Jala, 67, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga selepas penyakit itu dikesan menerusi pemeriksaan kesihatan susulan batuk berpanjangan.

Dalam pendedahan menerusi audio siar Game of Impossible bersama anaknya, Leon Jala, Idris berkata, beliau menjalani pemeriksaan perubatan rutin sebelum mengetahui mengenai penyakit berkenaan.

Beliau turut memaklumkan akan berundur daripada mengendalikan audio siar itu dan tanggungjawab tersebut akan diteruskan oleh Leon.

Idris sebelum ini dikenali sebagai tokoh pemulihan korporat selepas mencatat kejayaan besar ketika menerajui Malaysia Airlines (MAS) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dari 2005 hingga 2009.

Beliau berjaya membantu MAS berubah daripada kerugian RM1.3 bilion pada 2005 kepada keuntungan RM852 juta dua tahun kemudian.

Pada 2009, Idris dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sehingga 2015 bagi menerajui Program Transformasi Negara.

Beliau menjadi individu Orang Ulu pertama dilantik sebagai menteri Persekutuan. Pada 2014, Bloomberg menyenaraikan Idris antara 10 pembuat dasar paling berpengaruh di dunia.

Kini, beliau merupakan presiden dan pengerusi firma perunding swasta, Pemandu Associates Sdn Bhd. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN