KUALA LUMPUR: Pelakon, Harissa Adlyn, mengakui tidak mudah untuk menggalas tanggungjawab menghidupkan watak ikonik Kathy Ismail dalam drama bersiri Keluang Man.
Tambah Harissa, lebih-lebih lagi, watak Kathy Ismail yang juga seorang wartawan dalam filem sebelum ini pernah dibawa oleh pelakon, Amelia Henderson yang meletakkan tanda aras tinggi.
“Saya tidak nafikan Amelia merupakan seorang pelakon yang sangat hebat.
“Apa-apa watak yang dia pegang, dia bawa dengan penuh gaya dan nampak sangat mudah. Orang memang sukakan cara dia.
“Saya tak mahu tiru cara Amelia 100 peratus. Kalau saya buat begitu, saya akan nampak seperti sedang mencuba menjadi dia, dan tiada elemen ‘Harissa’ dalam watak itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Harissa berkata, peluang terlibat dalam projek besar Keluang Man adalah cita-cita yang boleh melonjakkan namanya.
Malah, watak sebagai wartawan juga membawanya keluar daripada stereotaip drama cinta yang dibawanya.
“Sebenarnya saya tak tahu pun mereka nak buat siri Keluang Man. Pegurus saya maklumkan untuk ajak pergi ‘casting’ melalui video. Saya dapat watak itu dan rupanya sayalah orang terakhir yang mereka ‘lock’.
“Sejak beberapa tahun jadi pelakon, saya banyak buat drama cinta yang panjang dan risau potensi saya tidak akan berkembang.
“Saya mungkin cuma akan berada di sisi komersial dan tak boleh jadi pelakon yang serba boleh (versatile). Itu bahaya untuk karier saya.
Saya tak nak dikenali sebagai pelakon yang hebat dalam satu benda sahaja. Tawaran ini say anggap sebagai rezeki,” katanya. -UTUSAN










