Geng Lakino Garuda tumpas, polis tahan sembilan suspek curi kabel hampir RM1 juta

Geng Lakino Garuda tumpas, polis tahan sembilan suspek curi kabel hampir RM1 juta

AZRY Akmar Ayob (kiri) melihat sebahagian  kabel yang disyaki di curi oleh kumpulan dikenali Geng Lakino Garuda di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menumpaskan sindiket dikenali sebagai Geng Lakino Garuda yang dipercayai terlibat dalam siri kecurian kabel solar dan komponen telekomunikasi di sekitar negeri ini membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sindiket itu dipercayai terlibat dalam 21 kes yang dilaporkan antara Februari hingga Jun lalu melibatkan lima kes di Pahang, lapan kes di Perak, lima kes di Negeri Sembilan dan tiga kes di Terengganu.

“Di negeri ini sahaja, kumpulan ini dikaitkan dengan lima kes membabitkan kecurian kabel solar di Pekan dan Kuantan serta komponen telekomunikasi dengan jumlah kerugian mencecah RM912,000.

“Susulan siasatan dijalankan, pasukan Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pahang menahan sembilan lelaki dalam beberapa siri serbuan di Kuantan, Shah Alam dan Sepang antara 27 Jun hingga 17 Julai lalu.

“Suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan  dan lima lelaki warga asing berusia antara 26 tahun hingga 52 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Azry Akmar berkata, daripada sembilan suspek yang ditahan, enam dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel solar dan komponen telekomunikasi manakala tiga lagi bertindak sebagai pembeli barangan curi.

Katanya, dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan kes termasuk sebuah lori bonded, sebuah Toyota Hilux, gulungan kabel milik TNB, cip elektronik, komponen telekomunikasi, parang, kad Touch ‘n Go dan telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM500,000.

Menurut beliau,semua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN