PUTRAJAYA : Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila dipilih sebagai penganjur bersama persidangan berprestij Global Animal Production and Veterinary Industry Summit (GAVIS 2026) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta gabungan persatuan veterinar Malaysia.
Penglibatan sulung UMT menerusi Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA) di persidangan berprestij itu membawa naratif baharu dengan mengintegrasikan sektor pengeluaran makanan berasaskan sumber akuatik ke dalam platform yang secara tradisinya didominasi oleh sains haiwan darat.
Langkah strategik berkenaan mendukung penuh tema persidangan, “One Voice, One Health, One Future”, memandangkan rantaian keselamatan dan keterjaminan makanan negara tidak akan lengkap tanpa mengambil kira kelestarian sumber haiwan akuatik.
Pengerusi Jawatankuasa GAVIS-UMT, Prof. Madya Dr. Noordiyana Mat Noordin, berkata UMT memanfaatkan platform global ini untuk mengukuhkan peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan dan hab pakar rujuk dalam bidang sains perikanan serta akuakultur di Malaysia.
“Penglibatan ini membolehkan UMT mengetengahkan pelbagai penemuan dan inovasi saintifik menerusi sesi pembentangan serta perbincangan strategik antara pihak akademik, agensi kerajaan, dan pemain industri,” katanya.
Dalam persidangan GAVIS 2026, aliran (streamline) akuakultur dan perikanan kendalian UMT menghimpunkan pakar terkemuka dari dalam dan luar negara menerusi dua forum utama, iaitu Charting Sustainable Shellfish Culture dan One Health in Aquaculture.
Kedua-dua forum berkenaan memberi tumpuan khusus kepada cabaran serta langkah mitigasi dalam memastikan sumber makanan akuatik selamat dan lestari. Ini termasuk usaha menangani isu rintangan antimikrob (Antimicrobial Resistance – AMR) dan pencemaran mikroplastik dalam sektor akuakultur demi menyokong daya tahan ekonomi serta ketahanan makanan negara.
Penglibatan aktif UMT pada GAVIS 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi dan melahirkan modal insan profesional bagi industri sumber akuatik, sekali gus meletakkan UMT sebagai peneraju agenda Ekonomi Biru negara. – UTUSAN










