EXIM Bank salur lebih RM2 juta menerusi Inisiatif Mawaddah - Utusan Malaysia

EXIM Bank salur lebih RM2 juta menerusi Inisiatif Mawaddah

KETUA Pegawai Operasi EXIM Bank, Hasrin Abdul Rahim (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Mohamad Sazali Shaari (kanan) merasmikan Karnival Keusahawanan Inisiatif Mawaddah yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) menyalurkan lebih RM2 juta menerusi Inisiatif Mawaddah sepanjang tiga tahun yang lalu, sekali gus memperkasa lebih 500 penerima manfaat di seluruh negara melalui program keusahawanan, bantuan kewangan dan pembangunan komuniti.

Anak syarikat kepada Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) itu meneruskan usaha tersebut melalui kerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) menganjurkan Karnival Keusahawan yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2026 di ibu pejabat EXIM Bank.

Usaha ini menzahirkan sebuah komitmen kebersamaan dalam memperkasa usahawan dan memperluas peluang kepada komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Nurbayu Kasim Chang berkata, bank percaya pertumbuhan ekonomi yang inklusif bermula dengan menyediakan peluang kepada setiap lapisan masyarakat.

“Melalui Inisiatif Mawaddah serta kerjasama kami bersama MFD, kami memperkasa usahawan yang memerlukan untuk membina perniagaan yang mampan serta memacu pembangunan ekonomi Malaysia.

“Sebagai platform kewangan sosial Islam EXIM Bank, Inisiatif Mawaddah terus memperkukuh kerjasama strategik yang menjana impak pembangunan yang nyata, berpandukan prinsip Value Based Intermediation serta selaras dengan Performance Measurement Framework Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Bank berkata, Karnival Keusahawanan ini merupakan kesinambungan berasaskan daripada Inisiatif Mawaddah, platform Kewangan Sosial Islam EXIM Bank yang berperanan dalam memperkasa pembangunan mampan dan inklusif melalui keusahawanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan kemanusiaan serta kerjasama strategik.

Menurutnya, inisiatif ini melaksanakan lebih 10 program dan kerjasama strategik sejak 2023, memberi manfaat kepada lebih 500 individu di seluruh negara melalui pembangunan keusahawanan, bantuan kewangan, jangkauan komuniti serta kewangan sosial Islam.

“Inisiatif utama merangkumi pembangunan keusahawanan bagi komuniti Pekak melalui kerjasama dengan MFD, pembangunan ekosistem halal bersama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan pemerkasaan ekonomi penternakan ayam bersama MyFundAction.

“Selain itu, terdapat juga program literasi kewangan Islam yang dilaksanakan dengan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB),” jelasnya.

Tambahnya, Karnival Keusahawanan ini menampilkan sekitar 10 reruai yang mempamerkan perniagaan yang dikendalikan oleh usahawan komuniti Pekak dalam sektor makanan dan minuman, peruncitan, produk kraftangan serta kecantikan.

“Dengan kehadiran lebih 400 pengunjung, sekali gus memberikan pendedahan pasaran yang lebih meluas kepada para usahawan, selain peluang membina rangkaian serta pendedahan kepada bakal pelanggan.

“Acara ini turut dihadiri oleh pengurusan kanan EXIM Bank, ahli Jawatankuasa Mawaddah, wakil MFD, rakan strategik serta pihak berkepentingan lain, mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa keusahawanan inklusif dan pembangunan sosioekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN