DALLAS: Era gemilang Didier Deschamps sebagai pengurus Les Bleus selepas 14 tahun berakhir selepas Perancis gagal melangkah ke final Piala Dunia 2026.
Kekalahan 0-2 kepada Sepanyol itu menyaksikan skuad kebangsaan Perancis kini bersedia untuk memasuki era baharu di bawah kendalian , Zinedine Zidane.
Legenda bola sepak Perancis itu dilaporkan bakal diumumkan sebagai pengurus baharu secara rasmi tidak lama lagi.
Deschamps, 57, sebelum ini mengesahkan pada awal 2025 bahawa Piala Dunia 2026 adalah kejohanan terakhirnya.
Sepanjang 14 tahun mengemudi Perancis sejak 2012, beliau merekodkan 120 kemenangan daripada 183 perlawanan dan berjaya membawa Perancis ke tiga aksi separuh akhir Piala Dunia, termasuk menjulang trofi itu pada edisi 2018.
Zidane, 53, yang pernah menjulang trofi Piala Dunia 1998 sebagai rakan sepasukan Deschamps, sudah lama menjadi pilihan untuk menggalas tanggungjawab utama itu.
Menurut laporan, Zidane dan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) sudah mencapai persetujuan lisan sejak Mac lalu.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi, kini hanya butiran kecil berkaitan saiz jawatankuasa serta barisan kejurulatihannya yang perlu dimuktamadkan sebelum menandatangani kontrak.
Legenda yang pernah memenangi Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak tiga kali dan Ballon d’Or 1998 itu mempunyai rekod kejurulatihan yang amat cemerlang di peringkat kelab.
Ketika membimbing Real Madrid, Zidane mencipta sejarah membawa kelab gergasi Sepanyol itu menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selama tiga musim berturut-turut selain meraih dua kejuaraan La Liga.
Kepulangan Zidane ke kem kebangsaan dijangka mampu mengekalkan status Perancis sebagai antara kuasa besar bola sepak dunia.- AGENSI










