KANSAS CITY: Penjaga gol England, Jordan Pickford yakin skuad The Three Lions mampu mengawal emosi ketika berdepan Argentina dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, esok.
Pertembungan dua kuasa bola sepak itu sering dianggap antara saingan paling sengit di pentas antarabangsa susulan sejarah panjang yang tercetus di dalam dan luar padang.
Bagaimanapun, Pickford percaya England sudah membuktikan kematangan mereka sepanjang kejohanan dan mampu menghadapi tekanan aksi berprofil tinggi itu.
“Sepanjang kejohanan ini anda dapat melihat keinginan kami untuk memenangi setiap perebutan bola, tetapi kami tidak terlibat dalam sebarang pergaduhan atau insiden tidak sepatutnya.
“Kami dihormati dalam permainan. Sama ada keputusan pengadil memihak kepada kami atau sebaliknya, kami hanya fokus semula dan membiarkan aksi di atas padang menjadi penentu.
“Itulah yang kami lakukan sepanjang kejohanan ini. Selain kad merah Jarell Quansah di Mexico, kami tidak menerima sebarang penggantungan atau kad kuning kedua,” katanya pada sidang media di kem latihan England di Kansas City.
Menjelang pertemuan di Atlanta, tumpuan pastinya terarah kepada kapten Argentina, Lionel Messi, namun Pickford menegaskan England turut memiliki barisan pemain bertaraf dunia yang mampu menentukan keputusan perlawanan.
“Semua orang akan bercakap mengenai Messi kerana dia antara pemain terbaik sepanjang zaman. Tetapi, kami juga memiliki pemain yang berkualiti, sama ada di bahagian serangan, pertahanan mahupun semangat berpasukan,” ujarnya.
Rekod pertemuan England dan Argentina sememangnya sarat dengan sejarah dramatik, termasuk kemenangan 2-1 Argentina pada suku akhir Piala Dunia 1986 menerusi dua gol Diego Maradona yang menyaksikan jaringan kontroversi ‘Hand of God’ serta satu gol solo yang dianggap antara terbaik dalam sejarah bola sepak.
Namun bagi Pickford, sejarah silam itu tidak lagi memberi sebarang makna kerana fokus England kini hanyalah untuk menempah tiket ke pentas final buat kali pertama sejak muncul juara dunia pada 1966.
“Ia hanyalah England menentang Argentina untuk merebut tempat ke final. Sama ada 90 minit, masa tambahan atau penentuan sepakan penalti, kami bersedia menghadapi apa sahaja. Kami sudah membuat segala persiapan,” katanya.- AGENSI/UTUSAN










