GEORGE TOWN : Syarikat sains hayat global yang berpangkalan di Jerman, Eppendorf SE bersetuju melaburkan dana sebanyak 40 juta euro atau lebih RM180 juta untuk membangunkan sebuah kilang pembuatan baharu di Taman Teknologi Bandar Cassia di Batu Kawan, dekat sini.
Perkara itu diumumkan sempena majlis menandatangani perjanjian pajakan antara Eppendorf dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini yang disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eppendorf, Dr. Christine Munz, pemeteraian perjanjian tersebut merupakan langkah penting dalam memperluas rangkaian pembuatan global syarikat berkenaan menerusi pembinaan kemudahan pengeluaran baharu di Asia Tenggara khususnya Malaysia.
“Malaysia telah menjadi sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan Eppendorf di rantau Asia Pasifik selama lebih tiga dekad dan pembinaan kilang di Pulau Pinang ini secara tidak langsung membuktikan komitmen jangka panjang syarikat terhadap negara ini.
“Selain itu, kewujudan tapak pengeluaran baharu ini turut mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan industri Malaysia, selain menjadi asas kepada pertumbuhan jangka panjang Eppendorf dalam memperkukuh rangkaian pembuatan global,” katanya di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Abdul Latiff Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Seri Loo Lee Lian serta wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sementara itu, Kon Yeow berkata, pelaburan Eppendorf membuktikan keyakinan berterusan syarikat bertaraf global terhadap ekosistem perindustrian di Pulau Pinang yang terus berkembang.
Menurut beliau, pelaburan yang dibuat oleh syarikat itu juga mengukuhkan keupayaan negeri dalam sektor peralatan saintifik dan pengukuran, iaitu sektor strategik yang menyokong pembangunan industri pembuatan maju, penjagaan kesihatan dan sains hayat.-UTUSAN










