SHAH ALAM: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya menganjurkan konsert amal bagi mengumpul dana membina sebuah dataran berbumbung terbuka Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), di sini, malam tadi.
Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, penganjuran SAMTTAJ Charity Concert Hijrah itu antara inisiatif yang dilakukan oleh pihaknya bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi mengumpulkan dana keseluruhan diperlukan sebanyak RM350,000.
“Sehingga kini, dana terkumpul adalah sebanyak RM150,000 yang sebahagiannya berjaya kita kutip melalui konsert amal, sumbangan korporat serta penyaluran dana daripada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) berjumlah RM50,000.
“Menerusi konsert amal, sekitar 800 tiket bernilai RM119 terjual dan kita menampilkan kumpulan-kumpulan nasyid terkemuka seperti Hijjaz, Inteam, The Rayhan, Qathrunnada dan penampilan istimewa oleh adik Nur Muhammad,” katanya ketika ditemui pemberita, malam tadi.
Tambahnya, selain itu, program tersebut turut diisi dengan program kerohanian menerusi perkongsian daripada Ustaz Nadzrie dan Fyn Jamal serta Faisal Ismail selaku pengacara.
Dalam program sama, DPIM turut memberikan pengiktirafan kepada pemain-pemain penting dalam perdagangan Islam negara antaranya DPIM Islamic Financial Excellence Award 2026 yang diterima oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Turut menerima pengiktirafan ialah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Institut Keusahawanan Negara (Insken), Ascentum AI dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (Teras) apabila masing-masing menerima anugerah berkaitan transformasi produktiviti, keusahawanan, kecemerlangan inovasi, perniagaan dan komuniti.
Selain itu, Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan Islam Terbaik DPIM 2026.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SAMTTAJJ, Mohamad Mahathir Mohamed Hanan memaklumkan, beliau menghargai usaha dilakukan oleh DPIM dalam membantu menyalurkan keperluan bagi 738 pelajar di sekolah agama berasrama itu.
“Dewan sedia ada iaitu Dewan Ibnu Al-Jazari tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang semakin ramai. Sebab itu kita perlukan sebuah dataran berbumbung yang akan dibina antara dewan tersebut dengan blok kelas.
“Ia akan dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti sukan dan pendidikan supaya persekolahan mereka di sana berjalan dengan lancar. Malah, ia juga diperlukan ketika penganjuran acara-acara penting termasuklah mesyuarat PIBG, tak perlu lagi tetamu duduk di luar dewan kerana ruang yang terhad,” ujarnya. – UTUSAN










