SHAH ALAM: Dua kanak-kanak lelaki mendakwa dicabul dan diliwat oleh pekerja tempat mereka bersekolah dekat sebuah kolej di Glenmarie, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, polis menerima laporan semalam daripada kedua-dua pelajar berusia 15 tahun itu yang mendakwa kejadian itu berlaku dekat tandas asrama dan rumah suspek.
Katanya, dakwaan tersebut tular dalam media sosial Threads apabila pemilik akaun @itsmeee_syauqie yang menyatakan terdapat kejadian seorang individu disyaki warganegara tempatan melakukan jenayah liwat terhadap dua mangsa sehingga trauma dan suspek berada di sekitar kawasan Seksyen 18, di sini.
“Mangsa pertama mengatakan telah dicabul ketika berada di tandas asrama kolej manakala seorang lagi mangsa mendakwa diliwat ketika berada di rumah suspek yang sama di Seksyen 18, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau memaklumkan polis kemudian membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
“Suspek sudah dikenalpasti yang berusia 30-an. Suspek ditahan di salah sebuah restoran di Shah Alam kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd. Razi Sahari di talian 019-5717076 dan Inspektor Muhamad Zamri Abdul Rahman di talian 0111-6652402,” ujarnya. – UTUSAN










