PETALING JAYA: “Sedapnya berkata-kata. Mana ada saya rajin berkongsi hal dalam kain selama ini?”
Demikian kata penyanyi dan pelakon, Abby Abadi membidas dakwaan sesetengah netizen yang menganggap dirinya gemar melondehkan aib keluarganya di media sosial.
Menurut Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 48, sebelum ini dia lebih gemar mendiamkan diri dan terus cekal meneruskan kehidupan demi anak-anak meskipun terlampau banyak perkara yang pahit harus ditelan.
“Tak ada apa pun yang saya kongsikan. Kalau saya jenis macam itu, tak adalah semuanya baik-baik sahaja bertahun-tahun, kan?
“Saya telan sahaja segala macam perangai manusia dalam dunia ini. Diperlakukan macam sampah pun, saya diam dan teruskan hidup. Siang malam saya fikir macam mana nak cari rezeki untuk beri kehidupan yang selesa kepada anak-anak.
“Cukup makan, cukup pakai, rumah yang selesa, bilik seorang satu. Ini Kuala Lumpur, tau! Kos sara hidup tinggi. Kena tahu itu. Tak pernah, ya, anak-anak saya kelaparan atau merempat. Tak pernah!,” katanya di Threads.
Dalam bebenang yang sama, dia juga musykil apabila terdapat segelinti pihak yang melabelkan dirinya toksik sedangkan segala yang diusahakan selama ini hanyalah demi menyara anak-anaknya.
“Saya hidup memang untuk anak-anak sahaja selama ini. Kalau dulu, masa arwah mak ayah masih ada, rezeki saya juga untuk mereka. Sekarang mereka dah tiada, memang anak-anaklah tanggungjawab saya.
“Kalau tak percaya, tanyalah orang sekeliling saya. Sambutan hari jadi anak-anak dah jadi acara rasmi. Macam mana saya jaga anak-anak kecil yang ada sekarang, macam itulah juga saya jaga yang dah besar dulu.
“Baju semuanya sama, makan ikut selera mereka. Tak pernah mereka terbiar tanpa penjaga. Boleh bayang tak keadaan ini? Toksiknya di mana?” ujarnya.
Sejak kebelakangan ini, nama Abby hangat menjadi perhatian susulan isu yang dikaitkan dengan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim dan bekas suaminya, Norman Hakim.
Kontroversi itu mula tercetus selepas Marissa sah bercerai, bahkan ketiadaan pelakon tersebut di majlis ulang tahun kelahiran anak keduanya itu baru-baru ini juga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan wargamaya.










