SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) mungkin tidak bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi berkenaan rundingan kerjasama dengan Pas.
Jumlah kerusi yang akan ditandingi gabungan itu belum diumumkan setakat ini apabila kepemimpinan BN memilih merahsiakannya sehingga pengumuman rasmi malam ini.
Menurut sumber, UMNO dijangka bertanding di lebih 14 kerusi manakala selebihnya diagihkan kepada parti komponen berdasarkan rundingan dimuktamadkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua bakal calon yang telah menandatangani aku janji serta melafazkan baiah.
Katanya, proses itu merupakan amalan lazim setiap kali menghadapi pilihan raya.
“Setakat ini saya telah berjumpa dengan semua bakal calon yang telah menandatangani aku janji dan juga melakukan baiah dengan saya selaku Pengerusi BN.
“Ini lazim kita lakukan pada setiap pilihan raya negeri, pilihan raya kecil, mahupun pilihan raya umum,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bakal Calon BN PRN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mengulas agihan kerusi, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN memperuntukkan tujuh kerusi kepada MCA dan empat kerusi kepada MIC berdasarkan unjuran kebolehmenangan.
“Pembahagian kerusi dibuat mengikut unjuran kebolehmenangan. Kita beri tujuh kerusi kepada MCA dan empat kepada MIC.
“Untuk kerusi UMNO pula, adalah nanti saya atau Pengerusi BN Negeri Sembilan umumkan malam ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, senarai calon telah dimuktamadkan dan merangkumi wakil UMNO, MCA serta MIC termasuk Wanita dan Puteri.
Katanya, pemilihan calon dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan BN menampilkan barisan terbaik.
“Insya-Allah, barisan calon yang kita kemukakan dan umumkan malam ini adalah daripada kalangan yang terbaik. Saya yakin mereka mampu mencipta kejayaan pada 1 Ogos nanti,” katanya.
Beliau enggan mengulas sama ada terdapat penyandang yang bertukar kerusi dan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi malam ini.
Pengumuman calon BN akan dibuat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.-UTUSAN










