BN Melaka tunggu masa sesuai umum strategi PRN

BN Melaka tunggu masa sesuai umum strategi PRN

AB. Rauf Yusoh mengadakan sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka terus mengunci mulut mengenai strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung pada Oktober ini apabila Pengerusinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh enggan mengesahkan sama ada gabungan itu akan mengulangi formula bertanding secara solo seperti di Johor.

Menurut beliau, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Saya akan jawab pada hari dan waktu dia yang akan tiba nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas sama ada sudah wujud rundingan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi PRN Melaka, Ab. Rauf sekali lagi memilih untuk berteka-teki.

Sebaliknya, beliau menggunakan perumpamaan ringkas yang mengundang pelbagai tafsiran.

“Saya lebih suka menjawab, saya akan tuai buah apabila dia masak,” katanya.

Walaupun enggan memperincikan strategi politik BN Melaka, beliau mengakui kemenangan besar BN pada PRN Johor memberi isyarat jelas terhadap perubahan corak pemikiran pengundi.

Katanya, keputusan itu membuktikan rakyat semakin matang dalam membuat pilihan politik dan tidak lagi mudah dipengaruhi oleh sentimen kebencian atau fitnah yang dimainkan sepanjang kempen.

“Johor menunjukkan satu manifestasi rakyat yang di luar jangka. Semua parti politik berkeyakinan mampu menawan Johor dengan cara masing-masing, tetapi keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya.

“Pentas politik demokrasi yang ditunjukkan oleh rakyat Johor telah berpindah kepada kematangan politik yang jauh daripada politik kebencian. Politik hasutan tidak dimakan oleh rakyat Johor,” katanya.

Ab. Rauf berkata, perkembangan itu wajar dijadikan cerminan kepada landskap politik Melaka dengan rakyat menilai kerajaan berdasarkan prestasi dan pencapaian sebenar, bukannya persepsi yang dibentuk menerusi media sosial.

“Saya mengharapkan rakyat Melaka melihat hasil kerja kerajaan, bukan dipengaruhi fitnah, hasutan dan kebencian yang tidak membawa manfaat kepada keharmonian negeri ini.

“Saya yakin rakyat Melaka mampu menilai bahawa hasil kerja kerajaan sedia ada telah memberi impak positif kepada sektor ekonomi, pelancongan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN