ASEAN perlu proaktif tangani krisis di Myanmar

ASEAN perlu proaktif tangani krisis di Myanmar

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama dalam Sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-39 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan ASEAN perlu mengambil pendekatan lebih proaktif, menyeluruh dan realistik dalam mencari penyelesaian proses damai krisis yang berlaku di Myanmar. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu dapat dicapai melalui libat urus dengan pihak berkuasa Myanmar, parti politik, kumpulan bersenjata etnik dan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Bagaimanapun katanya, usaha penyelesaian itu mestilah digerakkan oleh Myanmar sendiri tanpa paksaan pihak luar. 

“Tidak dinafikan bahawa penyelesaian politik yang dicapai mestilah diterajui oleh Myanmar sendiri dan ditentukan oleh rakyatnya bukannya dipaksakan oleh mana-mana pihak luar. 

“Proses tersebut akan mengambil masa yang panjang dan sepanjang tempoh itu, pemusatan ASEAN akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh iltizam bersama negara anggota untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) Ke-39 di sini, hari ini.

Menurut beliau, justeru pendekatan diambil ASEAN bukan sahaja perlu lebih proaktif dan menyeluruh malah turut bersifat pragmatik bagi memastikan usaha ke arah penyelesaian konflik itu dapat dilakukan

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelesaian yang dicapai benar-benar mendapat sokongan semua pihak di Myanmar serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan yang berkekalan di negara berkenaan.

“Perkara itu turut dibincangkan ketika pemimpin ASEAN bermesyuarat di Cebu baru-baru ini bagi menilai sama ada usaha yang dilaksanakan ketika ini boleh diperkasakan menerusi pendekatan yang lebih berani dan kreatif.

“ASEAN perlu terus berinteraksi dengan semua pihak di Myanmar iaitu pihak berkuasa di Naypyidaw, parti-parti politik pembangkang, kumpulan bersenjata etnik dan NGO tempatan.

“ASEAN perlu meneruskan libat urus dengan semua pihak di Myanmar termasuk pihak berkuasa di Naypyidaw, parti-parti politik pembangkang, kumpulan bersenjata etnik,” katanya. 

Pada 25 Jun lalu, media melaporkan ASEAN sedang meneliti pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam usaha menangani krisis yang berlaku di Myanmar. 

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun terdapat sedikit perkembangan di Myanmar, negara itu masih belum mencapai kemajuan seperti dipersetujui pemimpin ASEAN menerusi 5PC yang kekal menjadi kerangka utama ke arah pemulihan keamanan.

Katanya, Malaysia turut mencadangkan supaya gencatan senjata enam bulan yang dilaksanakan Myanmar dan dijadual berakhir penghujung Julai ini kemudian disambung sebagai fasa kedua ke arah usaha damai yang lebih menyeluruh.

Malaysia juga menggesa Myanmar menyediakan pelan hala tuju yang jelas bagi meneruskan proses keamanan termasuk melaksanakan dialog terangkum bersama semua pihak berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN