PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif, Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Tayyeb yang disifatkan antara tokoh paling lantang mempertahankan pendekatan wasatiyyah dalam mendepani isu semasa.
Anwar berkata, pada usia 80 tahun, Ahmad Al-Tayyeb masih aktif menangani pelbagai isu yang melangkaui batas institusi dan zaman serta membantu membentuk pemahaman mengenai iman, kekuasaan dan kehidupan bersama dalam dunia yang sentiasa berubah.
“Adalah satu penghormatan bagi saya untuk menzahirkan penghargaan mendalam kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, tokoh pembaharuan dan pendidik umat ini.
“Pada usia 80 tahun, Dr. Ahmad Al-Tayyeb masih terlibat dalam isu-isu yang melangkaui mana-mana institusi atau batas zaman tertentu dan membentuk pemahaman kita mengenai iman, kekuasaan serta kehidupan bersama dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.
Kenyataan Anwar itu dipetik menerusi tulisan beliau dalam buku Di Mihrab Al-Tayyeb sempena ulang tahun kelahiran ke-80 Imam Besar Al-Azhar berkenaan yang dikongsikan menerusi platform Facebook rasmi Al-Azhar Al-Sharif.
Menurut Anwar, Ahmad Al-Tayyeb membuktikan keupayaannya mempertahankan prinsip serta kedudukan institusi Al-Azhar bukan sekadar menerusi kenyataan, malah melalui akhlak, ilmu dan amalan.
Katanya, tokoh ulama tersebut juga mempertahankan pendekatan sederhana dan bijaksana dalam menangani isu-isu kontemporari.
Anwar berkata, Ahmad Al-Tayyeb turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh dialog antara penganut agama.
“Peranan itu jelas menerusi Dokumen Persaudaraan Manusia yang ditandatangani bersama mendiang Pope Francis di Abu Dhabi pada 2019.
“Dokumen tersebut antara lain menegaskan bahawa keimanan seharusnya mendorong seseorang melihat orang lain sebagai saudara yang berhak mendapat sokongan dan kasih sayang,” katanya.
Anwar berkata, beliau juga pernah menggesa Ahmad Al-Tayyeb supaya terus memperhebat usaha memperkukuh perpaduan ummah serta menyuburkan nilai kasih sayang dan saling menghormati.
“Saya secara peribadi pernah menggesa beliau dalam perbincangan kami supaya menggandakan usaha memperkukuh kesatuan ummah, menyemai nilai kasih sayang, saling menghormati dan kehidupan bersama yang baik.
“Ini termasuk memperkukuh kerjasama sesama umat Islam serta antara umat Islam dan bukan Islam di negara kita,” katanya.-UTUSAN










