MUAR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan akan memohon untuk mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberikan penjelasan berkenaan isu pembinaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam.
Beliau berkata, penjelasan berhubung perkara itu juga sudah dibuat hari ini oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.
Beliau berkata, isu yang berbangkit juga bukan soal membatalkan projek tersebut tetapi untuk merasionalisasikan kos projek tersebut.
“Jadi teguran (Sultan Selangor) itu kita terima, tapi saya akan cuba memohon untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas program ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri di sini, malam ini.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina Laluan LRT3 menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Menerusi titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3, baginda bertitah, cadangan pembinaan sistem rel itu disampaikan kepada Najib ketika majlis berbuka puasa pada 2015 selepas menerima banyak surat daripada rakyat terutama suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.
Pada masa sama, baginda bertitah, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum berdepan kelewatan tambahan selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19.
Baginda bertitah, ketika Guan Eng menerajui Kementerian Kewangan bersama Tony Pua sebagai penasihat, kos projek dikecilkan kerana disifatkan sebagai projek mega.
Menurut baginda, tindakan itu menyebabkan saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima lokasi stesen yang dicadangkan dibatalkan. – UTUSAN










