PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mencadangkan agar pihaknya dapat memperoleh senjata api jenis Glock bagi kegunaan pasukan itu berikutan spesifikasinya yang tahan lasak serta kos selenggara yang rendah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, secara dasarnya, kerajaan bersetuju untuk membekalkan AKPS dengan senjata api bagi memudahkan urusan serta memastikan aspek keselamatan semasa bertugas.
“Semua sedia maklum, senjata tersebut adalah yang mana kita pakai selalunya ialah Glock, kurang penyelenggaran dan lasak. Itu yang kita minta,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan AKPS di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan RM22 juta bagi melengkapkan AKPS dengan senjata api dan kelengkapan bersesuaian.
“Ia susulan insiden tembakan ke atas kenderaan dinaiki seorang komander agensi itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Februari lalu.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, AKPS kini melengkapkan anggota dan pegawainya dengan kepakaran baharu di luar bagi memastikan mereka kekal kompetan.
“Ini kerana harapan rakyat untuk menyaksikan satu pasukan yang cukup berwibawa berada di pintu masuk negara, berdiri dengan teguh dan penuh maruah diri yang tinggi, diikat dengan sikap serta ilmu kerja yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










