68,191 OKU berjaya ditempatkan di sektor swasta

68,191 OKU berjaya ditempatkan di sektor swasta

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 68,191 Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya ditempatkan dalam sektor swasta sejak 2023 hingga 31 Mei lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah itu turut merangkumi golongan neurodivergen termasuk individu autisme, Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), disleksia serta peserta Program Return To Work (RTW).

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan berkenaan, seramai 3,605 orang atau 5.3 peratus merupakan pencari kerja OKU di Sabah.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melihat agenda pemerkasaan OKU bukan sekadar keperluan sosial tetapi komponen strategik dalam pembangunan modal insan negara.

“Melalui jabatan dan agensi di bawah KESUMA, pelbagai strategi dilaksanakan bagi membantu golongan OKU memperoleh akses kepada peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan yang bersesuaian, sekali gus memenuhi keperluan pasaran buruh negara,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai langkah kerajaan memperkasakan akses pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, khususnya di Sabah.

Ramanan berkata, dari aspek pendidikan dan latihan, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyediakan peluang mengikuti latihan kemahiran di institusi seperti Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) dan Proton Institute kepada semua pemohon yang layak termasuk OKU.

Katanya, pelajar OKU di institusi berkenaan turut menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan selain menikmati pengecualian yuran pengajian serta kemudahan asrama dan makan minum secara percuma.

Beliau berkata, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pula menyediakan laluan latihan dan pensijilan menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), termasuk peluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM).

“Individu yang mempunyai pengalaman kerja juga boleh mendapatkan pengiktirafan kemahiran menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT),” katanya.

Dari aspek kebolehpasaran, beliau berkata, PERKESO menyediakan perkhidmatan pemadanan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya, Career Launchpad Programme (CLP) OKU, Karnival Kerjaya OKU serta program advokasi kepada majikan melalui portal MYFutureJobs.

Selain itu, katanya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut menyediakan platform MyMAHIR.my yang dilengkapi ciri kebolehcapaian bagi membantu golongan OKU mendapatkan maklumat berkaitan laluan kerjaya dan latihan yang bersesuaian.

“Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) juga melaksanakan Program Latihan MADANI bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran golongan OKU,” katanya.

Ramanan berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif itu menunjukkan impak positif dalam meningkatkan kemahiran serta peluang pekerjaan golongan OKU.

Beliau berkata, KESUMA akan terus memperkukuh usaha berkenaan menerusi penambahbaikan dasar, kerjasama strategik dengan industri dan penyediaan ekosistem latihan yang lebih inklusif supaya golongan OKU kekal berdaya saing dalam pasaran kerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN