40 jenazah terjejas tanah runtuh dikebumikan semula

40 jenazah terjejas tanah runtuh dikebumikan semula

WARIS menyaksikan upacara pengebumian semula jenazah yang terjejas tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim, Sandakan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Lebih 40 jenazah yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di sini dikebumikan semula dalam satu liang lahad semalam.

Pengebumian semula yang dilakukan di kawasan lapang dalam tanah perkuburan sama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan waris.

Pegawai Tadbir Agama Sandakan, Rahmin Arman berkata proses pemindahan serta pengebumian semula berjalan lancar hasil kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), polis, waris dan penduduk.

“Proses itu dilaksanakan mengikut nasihat Mufti Sabah supaya semua jenazah disemadikan semula secara berjemaah dalam satu liang lahad selaras hukum syarak serta menjaga kemuliaan jenazah,” katanya di sini.

Menurut beliau, proses itu dipantau Pengarah JHEAINS Sabah, Datuk Awang Juri Ag Tahir menerusi panggilan video bagi memastikan semua urusan mengikut tertib.

“Kawasan perkuburan yang terjejas dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan larangan pengebumian mengelakkan risiko tanah runtuh dan menjamin keselamatan orang ramai,” katanya.

Sebelum ini, lebih 20 kubur dilaporkan rosak selepas berlaku tanah runtuh di tanah perkuburan berkenaan Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN