2TAIPING: Sebanyak 206 kenderaan dipandu warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan bermula 1 Januari hingga hari ini.
Ketua Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebanyak 152 daripadanya adalah motosikal, 27 kereta dan 19 kenderaan barangan.
Katanya, PEWA dilaksanakan secara berterusan sebagai langkah proaktif membanteras kesalahan pemandu warga asing yang memandu tanpa lesen sah, menggunakan kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan melakukan kesalahan lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Operasi ini bukan tindakan bermusim, sebaliknya sebahagian daripada penguatkuasaan berjadual sepanjang tahun berdasarkan risikan, aduan orang ramai dan analisis kawasan berisiko tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di JPJ Taiping di sini hari ini.
Mohammad Yusoff berkata, sehingga 28 Julai lalu, seramai 188 pemandu warga asing ditahan membabitkan 50 warga Pakistan, Rohingya dan Myanmar (42), Indonesia (40), Bangladesh (35), India (8), Nepal (7), Thailand (2) dan lain-lain (4).
Bagi operasi hari ini pula, 18 pemandu warga asing ditahan membabitkan Rohingya dan Myanmar seramai tujuh orang, Pakistan (6), Indonesia (3) dan Bangladesh (2).
Beliau berkata, antara kesalahan utama adalah memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 380 kes, LKM tamat tempoh (126), tiada perlindungan insurans (117), kesalahan teknikal lain (105) dan salah guna LKM (17).
Katanya, sebanyak 790 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan dan 188 notis sitaan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, tindakan boleh diambil terhadap warga tempatan yang membantu warga asing membeli kenderaan menggunakan nama mereka kerana perbuatan itu merupakan kesalahan serius.-UTUSAN










