204 agensi kongsi data dengan PADU

204 agensi kongsi data dengan PADU

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan pengintegrasian data secara berterusan dengan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong penggubalan dasar berasaskan data.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, PADU menyediakan empat perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan profil, perkhidmatan analitik, perkhidmatan data dan platform bersepadu bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, perkhidmatan profil membolehkan rakyat menikmati pengalaman perkhidmatan digital yang lebih mudah, cekap dan mesra pengguna.

Katanya, perkhidmatan analitik pula menyokong proses membuat keputusan berasaskan data dalam perancangan dasar serta pengurusan program, manakala perkhidmatan data menyediakan mekanisme semak silang, pengesahan data, analisis dan penjanaan statistik.

“Bagi platform bersepadu, ia berfungsi menyatukan data daripada pelbagai agensi bagi membentuk repositori profil individu dan isi rumah yang lebih bersepadu, komprehensif dan sentiasa dikemas kini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Bebas-Machang) berhubung penilaian keberkesanan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya serta penggunaan PADU dalam dasar ekonomi negara.

Akmal Nasrullah berkata, sehingga Jun 2026, sebanyak 27 permohonan perkongsian data daripada agensi kerajaan telah diluluskan bagi pelaksanaan pelbagai program dan dasar untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, inovasi pendigitalan serta tujuan kajian dan penyelidikan.

Beliau berkata, antara agensi yang memanfaatkan data PADU ialah Kementerian Kewangan yang menggunakannya bagi pengesahan data individu untuk pelaksanaan penyasaran subsidi petrol BUDI95.

“Selain itu, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menggunakan data PADU bagi menjalankan kajian profil belia yang tidak bekerja, tidak mengikuti pendidikan atau latihan (NEET).

“Jabatan Digital Negara pula memanfaatkan data PADU dalam pembangunan portal MyGovernment dan aplikasi mudah alih bersepadu kerajaan, MyGov Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN