Selangor sedia kongsi data SELangkah kepada PADU - Utusan Malaysia

Selangor sedia kongsi data SELangkah kepada PADU

SELangkah PADU
MOHD. Uzir Mahidin (kiri) menerima dokumen MoU daripada Helmi Zakariah sambil disaksikan Amirudin Shari pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Selangkah Ventures dengan DOSM di, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rakyat Selangor yang mempunyai akaun dalam aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) dan belum sempat mendaftar maklumat diri dalam Pangkalan Data Utama (PADU) akan didaftarkan ke dalam sistem tersebut.

Pendaftaran tersebut dibuat menerusi perkongsian maklumat antara kedua-dua sistem bagi membolehkan insentif daripada Kerajaan Persekutuan seperti subsidi bersasar diterima oleh mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, maklumat dalam sistem SELangkah merangkumi maklumat penerima bantuan daripada kerajaan negeri seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Selangor Mental Sihat (SEHAT), Program Saringan Kesihatan Percuma (Selangor Saring) dan Insentif MamaKerja (MamaKerja).

“Hanya rakyat Selangor yang mempunyai aplikasi itu sahaja yang akan didaftarkan ke dalam pangkalan data itu, namun perlu mendapat persetujuan daripada mereka.

“Secara keseluruhan, 3,712, 616 data maklumat (individu yang masih aktif menggunakan aplikasi SELangkah) boleh dikongsikan dengan PADU tertakluk kepada terma dan syarat penggunaan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Selangkah Ventures Sdn. Bhd. (Selangkah Ventures) dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Ketua Pegawai Informasi Selangor Ventures, Dr. Helmi Zakariah iaitu syarikat yang memiliki SELangkah.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, selain berkongsi data pengguna dalam SELangkah, kerajaan negeri bersedia berkongsi data dengan PADU melalui Selangor Government Data Exchange (SelGDX), iaitu platform perkongsian data di antara agensi di bawah kerajaan Selangor.

“Semasa tempoh pendaftaran PADU, kerajaan negeri melalui DOSM Selangor telah membuka 3,221 buah kaunter fizikal pada 2 Januari hingga 31 Mac di seluruh negeri.

“(Dalam tempoh itu) Seramai 1.89 juta penduduk Selangor yang berumur 18 tahun ke atas telah berjaya mengemas kini maklumat dalam sistem PADU,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Uzir memberitahu, Selangor merupakan kerajaan negeri yang pertama menandatangani MoU dengan Kerajaan Pusat bagi kerjasama perkongsian data ini.

Ujarnya, DOSM juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri lain bagi pendaftaran PADU bagi rakyat negeri mereka melalui kerjasama kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat (G2G). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN