KUALA LUMPUR: Masalah kelewatan menerima rawatan kecemasan serangan Strok Iskemia Akut (AIS) kekal menjadi antara cabaran terbesar sektor kesihatan negara kerana kelewatan setiap satu minit boleh mengakibatkan kematian kira-kira 1.9 juta sel otak.
Pakar Perunding Neurologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hoo Fan Kee berkata, kekangan utama negara kini adalah jumlah pakar neurologi yang amat kritikal iaitu kurang daripada 200 orang bagi seluruh populasi.
Katanya, 50 peratus daripada jumlah pakar tersebut tertumpu di Lembah Klang manakala separuh lagi berkhidmat di hospital swasta.
“Situasi ini menyebabkan usaha melatih pegawai perubatan am bukan pakar menerusi program kerjasama menjadi sangat penting demi memastikan rawatan kecemasan dapat diberikan tanpa mengira lokasi pesakit.
“Lebih membimbangkan, trend serangan kini menunjukkan peningkatan ketara melebihi 50 peratus dalam kalangan dewasa muda berumur antara 35 hingga 39 tahun.
“Sekiranya tiada langkah pencegahan agresif diambil dengan segera, satu daripada empat rakyat Malaysia dijangka berdepan serangan strok menjelang tahun 2040,” katanya pada majlis diskusi Bertindak Pantas Menenangi Strok di sini hari ini.
Malaysia merekodkan sekitar 47,900 kes strok baharu setiap tahun dengan anggaran 440,000 kes sedia ada di seluruh negara dan kelewatan bertindak boleh mempercepat penuaan otak sehingga 3.6 tahun bagi setiap satu jam rawatan tertangguh.
Menurut Fan Kee, ramai pesakit sering terlepas ‘jendela emas’ rawatan selama 4.5 jam kerana tersalah anggap simptom awal strok sebagai masalah lenguh leher biasa atau tersalah urat semata-mata.
“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan ubat pemecah darah beku generasi baharu iaitu Metalyse® 25mg (Tenecteplase) bagi mengatasi kekangan masa yang sangat mencabar di kaunter kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Alzamani Mohd Idrose berkata, kehadiran ubat ini membawa revolusi besar kerana ia boleh diberikan secara suntikan tunggal dalam tempoh 5 hingga 10 saat sahaja.
Katanya, kaedah baharu ini jauh lebih pantas berbanding terapi generasi lama seperti alteplase yang memerlukan proses titisan menggunakan pam infusi selama hampir satu jam.
“Rakyat perlu mengamalkan gaya hidup aktif dengan berjalan sekurang-kurangnya 5,000 hingga 10,000 langkah sehari bagi mengurangkan risiko serangan kerosakan vaskular.
“Rakyat juga tidak perlu membuang masa mencari maklumat di Google atau ChatGPT apabila melihat ahli keluarga menunjukkan simptom sebaliknya perlu segera mengamalkan formula ‘Be Fast’.
“Formula ini merujuk kepada penilaian mendadak terhadap keseimbangan badan (Balance), kekaburan mata (Eyes), muka senget (Face), kelemahan tangan (Arms), dan pertuturan pelat (Speech) sebelum segera menghubungi talian 999 untuk tindakan segera (Time),” katanya. – UTUSAN










