Perancis pulangkan harta rampasan keluarga Assad kepada Syria

Perancis pulangkan harta rampasan keluarga Assad kepada Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan Paris akan memulangkan harta berjumlah 51 juta euro (RM237.38 juta) yang dirampas daripada keluarga bekas pemerintah Syria, Bashar al-Assad kepada negara itu.

Pengumuman itu dibuat semasa lawatannya ke Damsyik yang juga pertama bagi seorang ketua negara Kesatuan Eropah (EU) sejak kejatuhan Bashar pada penghujung 2024.

Kedua-dua negara menandatangani beberapa perjanjian yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembinaan semula Syria selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.

Salah satu perjanjian itu membabitkan pemulangan wang yang dirampas Perancis daripada bapa saudara kepada bekas pemimpin Syria itu, Rifaat al-Assad.

Macron ketika menghadiri sidang media bersama rakan sejawatnya dari Syria, Ahmed al-Sharaa berkata, hasil rampasan kekayaan yang diperoleh secara haram oleh keluarga bekas diktator itu dan yang disita oleh sistem kehakiman Perancis akan dipulangkan kepada rakyat Syria bagi membiayai projek pembangunan di negara itu.

Rifaat meninggalkan Syria pada 1984 selepas gagal dalam cubaan menggulingkan abangnya, Hafez al-Assad, sebelum berpindah ke Switzerland dan kemudian ke Perancis.

Beliau kemudian memperkenalkan dirinya sebagai penentang kepada anak saudaranya, Bashar, yang mengambil alih pemerintahan selepas kematian Hafez pada 2000.

Pada 2021, Rifaat pulang ke Syria bagi mengelak menjalani hukuman penjara empat tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram dan penyelewengan dana awam Syria.

Dua tahun kemudian, Rifaat muncul dalam gambar keluarga bersama Bashar, isteri Bashar, Asma dan beberapa ahli keluarga lain.

Tidak lama selepas Bashar digulingkan, Rifaat menyeberang ke Lubnan sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Beirut, menurut sumber keselamatan Lubnan ketika itu, tanpa mendedahkan destinasi akhirnya.

Keluarganya mengumumkan kematiannya pada Januari lalu pada usia 88 tahun.

Peranan Rifaat dalam pembunuhan beramai-ramai di Hama pada Februari 1982 ketika tindakan keras terhadap pemberontakan bersenjata oleh kumpulan Ikhwanul Muslimin menyebabkan beliau digelar ‘Penyembelih Hama’.

Jumlah korban sepanjang 27 hari keganasan yang berlaku ketika sekatan media dikuatkuasakan tidak pernah dipastikan secara rasmi, namun dianggarkan antara 10,000 hingga 40,000 orang terbunuh.

Pendakwa raya Switzerland sebelum ini menuduh Rifaat melakukan pelbagai jenayah, termasuk mengarahkan pembunuhan, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan penahanan secara haram ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai tentera Syria.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN