Yakin mampu sara isteri, lelaki kerdil idam bina keluarga

Yakin mampu sara isteri, lelaki kerdil idam bina keluarga

MOHD. Azizol Mohd. Hussain berharap dapat bertemu jodoh bagi mengisi kekosongan hatinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Di sebalik fizikalnya yang hanya setinggi 1.22 meter, anak peneroka Felda Anggerik Jengka 1 di sini, memasang hasrat memikul tanggungjawab besar sebagai ‘ketua keluarga’.

Dengan pendapatan tetap RM1,500 sebulan hasil pengurusan ladang sawit Felda dan kepercayaan penuh adik-beradiknya untuk menguruskan aset pusaka, Mohd. Azizol Mohd. Hussain, 44, kini sudah bersedia bergelar seorang suami.

“Saya tidak meletakkan syarat yang tinggi. Saya cuma mahu seorang wanita yang ikhlas dan boleh menerima diri saya seadanya, sepertimana saya menerima dirinya. Soal makan pakai dan tanggungjawab, insya-Allah saya mampu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Azizol berkata, selepas pemergian ibu dan bapa tercinta, dia kini tinggal seorang diri dan mengharapkan kehadiran seorang isteri yang boleh berkongsi suka dan duka, menjaga kebajikan antara satu sama lain serta membina sebuah keluarga yang bahagia.

Menurutnya, ketika dia berusia 15 tahun, bapanya, Mohd. Hussain Supari meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat komplikasi jangkitan kuman berpunca penyakit buasir kronik.

“Ibu Halijah Awang,78, yang menjadi tempat saya bermanja dan bergantung kasih sayang pula meninggal dunia lima tahun lalu selepas sekian lama terlantar akibat lumpuh.

“Sejak ibu meninggal dunia, saya tinggal bersendirian di rumah ini. Memang sunyi kerana kedua-dua insan yang paling rapat dengan saya sudah tiada,” katanya.

Anak peneroka Felda itu berkata, walaupun mempunyai kekurangan fizikal, dia mampu berdikari menguruskan kehidupan harian termasuk bergerak sendiri menggunakan kenderaan lasak All Terrain Vehicle (ATV) yang dibeli pada 2021 dengan harga RM5,000.

Menurutnya, kenderaan tersebut menjadi teman setia untuk berulang-alik ke kawasan ladang dan sekitar tanah rancangan tersebut.

Mohd. Azizol berkata, ladang sawit miliknya kini sedang melalui proses tanam semula dan diuruskan oleh Felda, sekali gus membolehkannya menerima pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan menerusi skim sara hidup yang disediakan agensi terbabit.

Katanya, dia turut diberi amanah oleh empat adik-beradiknya untuk menguruskan aset keluarga termasuk ladang sawit memandangkan kesemua mereka sudah berkeluarga dan menetap di luar tanah rancangan tersebut.

“Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan. Namun jauh di sudut hati, saya tetap berharap dapat bertemu jodoh dan membina keluarga sendiri suatu hari nanti. Saya juga mahu merasai kebahagiaan berkeluarga seperti orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN