YADIM santuni 600 asnaf, komuniti Hulu Langat

YADIM santuni 600 asnaf, komuniti Hulu Langat

DR. Zulkifli Hasan (4 dari kiri) bersama tetamu kehormat dan komuniti orang kampung serta petugas YADIM di Institut Latihan Dakwah Islamiah Malaysia (INDAH) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyantuni kira-kira 600 golongan asnaf dan masyarakat sekitar Hulu Langat menerusi agihan daging korban sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Daging Korban YADIM 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program itu bukan sekadar melaksanakan ibadah korban, malah menjadi platform memperkukuh semangat gotong-royong dan perpaduan komuniti.

Zulkifli berkata, masyarakat setempat bersama sukarelawan turut bergotong-royong memasak, dan menyediakan juadah untuk kenduri rakyat yang diadakan sempena program berkenaan.

“Ini menunjukkan semangat ukhuwah, perpaduan dan sikap saling membantu antara satu sama lain yang perlu terus diperkasakan dalam masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Daging Korban YADIM 2026 di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Marhamah Rosli; Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan; Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin.

Beliau berkata, program seumpama itu akan terus digerakkan di seluruh negara kerana ia membawa semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan, keprihatinan dan hubungan erat sesama rakyat.

“Program ini bukan hanya menyerahkan daging korban, tetapi yang lebih penting membawa semangat MADANI untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Tahun ini, program korban dan akikah YADIM mencatat peningkatan penyertaan apabila sebanyak 19 ekor haiwan korban dan akikah dilaksanakan berbanding 13 ekor pada tahun lalu.

Sebanyak enam ekor lembu dan sembilan ekor kambing diperuntukkan bagi ibadah korban, manakala tiga ekor kambing untuk akikah di peringkat ibu pejabat YADIM serta seekor lembu korban dilaksanakan di Kelantan.

Semua haiwan korban disembelih pada 30 Mei lalu bersamaan 13 Zulhijjah 1447H dengan penyembelihan dilaksanakan di Colla Cattle Farm, Kuala Selangor dan Ladang Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan.

YADIM memaklumkan, kejayaan program mencerminkan kerjasama antara badan dakwah berkenaan, penyumbang, sukarelawan, komuniti setempat dan rakan strategik dalam memperluas manfaat kebajikan kepada golongan memerlukan.

Program itu turut menjadi sebahagian daripada usaha YADIM memperkukuh agenda dakwah dan kebajikan berteraskan nilai ihsan agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih dekat oleh masyarakat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN