GEORGE TOWN: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyasar untuk memperluaskan Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) ke 42 penjara di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Timbalan Yang Dipertua Yadim, Prof. Dr. Adi Anuar Azmin @ Che Wan berkata, projek rintis itu kini sedang dilaksanakan sejak Julai lalu di Penjara Pulau Pinang dan negeri ini dipilih kerana statusnya yang memiliki institusi penjara paling lama di Malaysia ketika ini.
“Projek Nilam ini membawa mesej penting kepada penghuni penjara supaya mendekatkan diri dengan amalan membaca, menulis sinopsis serta menghayati nilai murni melalui bahan bacaan yang disediakan.
“Kita mahu budaya ilmu ini menjadi sebahagian daripada proses pembinaan semula jati diri mereka. Justeru, kita sasarkan dalam tempoh dua tahun ini untuk perluaskan program Nilam sehingga ke 42 buah penjara di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul dan perasmian program Nilam peringkat prospek Penjara Pulau Pinang, di sini. Yang turut hadir, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Zool Fadli Ismail.
Menurut beliau, Nilam yang diambil sempena nama batu permata bernilai tinggi dijadikan simbol kepada kualiti dan keindahan ilmu yang wajar dimiliki setiap individu termasuk penghuni penjara.
“Setakat ini, Yadim telah menyalurkan kira-kira 1,500 naskhah buku di Penjara Pulau Pinang dengan kerjasama pegawai dan kakitangan penjara yang turut menyumbang bahan bacaan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu akan diperluaskan ke penjara lain dengan nisbah tiga kali ganda jumlah buku berbanding bilangan penghuni bagi memastikan akses bacaan mencukupi.
“Selain Penjara Pulau Pinang, program seumpama ini telah diperkenalkan secara tidak rasmi di Penjara Seberang Perai, Penjara Pokok Sena, Penjara Johor Bahru dan Penjara Sungai Petani.
“Menerusi program ini, setiap bulan, Yadim akan mengadakan lawatan ke penjara-penjara untuk menyantuni penghuni. Maklum balas yang kita terima menunjukkan kesan positif apabila ramai mula menulis, menghasilkan karya berbentuk novel dan travelog berdasarkan pengalaman hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, projek Nilam turut memberi peluang kepada keluarga serta orang ramai untuk menyumbang buku yang boleh diwakafkan demi manfaat penghuni penjara.
Sementara itu, seorang prospek yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, projek Nilam banyak memberi manfaat kepada dirinya dalam memperbaiki diri serta menambah ilmu agama menerusi pembacaan buku-buku keagamaan.
“Masa yang ada di penjara diisi dengan membaca dan kami belajar banyak perkara baharu terutama dalam bidang agama menerusi buku-buku yang disalurkan melalui projek Nilam ini,” katanya. – UTUSAN










