PETALING JAYA: Lebih 100 peserta daripada Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) menyertai Kelas Bimbingan Fardu Ain yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama rakan strategik bagi mewujudkan suasana pembelajaran inklusif.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, lebih 100 peserta dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur setiap kali ia dianjurkan iaitu sebanyak dua kali sebulan bermula 8 Oktober lalu.
“Kita dapat menyaksikan komuniti OKU bersama komuniti masjid menuntut ilmu agama, mengingatkan kita bahawa menuntut ilmu adalah hak semua orang termasuk golongan OKU supaya mereka mendapat peluang belajar secara saksama,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kelas Bimbingan Fardhu Ain OKU Pekak di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini, hari ini.
Katanya, program ini bukan sahaja menyantuni kebajikan komuniti OKU tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat melalui penglibatan NGO dan institusi.
“Sejarah menunjukkan masyarakat OKU tidak pernah dipinggirkan dalam Islam, malah mereka turut diposisikan sebagai penggerak dalam usaha dakwah.
“Usaha seperti ini membolehkan lebih ramai individu OKU yang berkemahiran untuk menyumbang kepada komuniti dan memperkukuh ilmu agama secara inklusif,” ujarnya.
Difahamkan, tenaga pengajar bagi kelas ini adalah Imam Besar Masjid Jamek, Ustaz Mohd Hariz Jamil manakala penterjemah bahasa isyarat ialah Encik Ahmad Rozaimi Mohamed dari Jabatan Penerangan Malaysia.
Beliau turut berharap penganjuran program ini dapat menyemai nilai empati dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat serta memperkukuh semangat inklusif selaras dengan teras Ihsan dalam Aspirasi Malaysia Madani.
“Penganjuran kelas ini selaras dengan teras memperkukuhkan dakwah OKU bagi kesejahteraan ummah dan meningkatkan sistem sokongan OKU dalam Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim 2024-2028.
“Semoga usaha ini berterusan, melibatkan lebih ramai masyarakat, dan memberi manfaat kepada golongan OKU pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










