Wushu sandaran utama Melaka buru 20 emas di SUKMA Selangor

Wushu sandaran utama Melaka buru 20 emas di SUKMA Selangor

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Acara wushu sekali lagi menjadi sandaran utama kontinjen Melaka untuk memburu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Ketua Kontinjen SUKMA Melaka, Datuk VP Shanmugam berkata, keyakinan itu berdasarkan rekod pencapaian cemerlang skuad wushu yang muncul sebagai penyumbang terbesar pingat emas negeri pada SUKMA Sarawak 2024.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata,  daripada keseluruhan 18 pingat emas yang diraih Melaka di Sarawak, sebanyak tujuh emas disumbangkan oleh acara wushu, diikuti pencak silat (tiga emas) dan olahraga (dua emas).

Selain itu katanya, acara lawan pedang, skuasy, petanque, e-sukan, badminton dan sepak takraw masing-masing menghadiahkan satu pingat emas kepada kontinjen negeri.

“Wushu akan menjadi antara sandaran utama kita kali ini berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sebelum ini. Selain itu, kita turut menaruh harapan kepada pencak silat, skuasy, badminton dan beberapa acara lain yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat emas.

“Kita sasarkan 20 pingat emas dan berharap atlet-atlet Melaka mampu mencipta kejutan serta mengatasi sasaran tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Bapa Angkat (YB), Jabatan Angkat dan Anak Angkat (Sukan) sempena SUKMA XXII Selangor 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Majlis penyerahan watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Pada SUKMA Sarawak 2024, Melaka menamatkan saingan di kedudukan ke-12 daripada 15 kontinjen negeri yang mengambil bahagian selepas mengumpul 18 pingat emas, 22 perak dan 30 gangsa.

Sehubungan itu, Shanmugam berkata, sasaran 20 pingat emas yang ditetapkan untuk edisi kali ini adalah realistik dan mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet serta persiapan yang sedang dijalankan.

Katanya, daripada lebih 700 atlet yang didaftarkan menerusi 36 persatuan sukan negeri, seramai 560 atlet telah disenarai pendek untuk menggalas cabaran Melaka di Selangor nanti.

“Kalau kita melihat kepada unjuran yang diberikan oleh persatuan-persatuan sukan, ada yang yakin mampu menyumbang pingat emas termasuk karate, silambam dan beberapa lagi acara. 

“Jika dikira keseluruhannya, jumlah pingat yang dijanjikan oleh persatuan mungkin melebihi 30 emas, namun kita memilih untuk menetapkan sasaran yang lebih realistik iaitu 20 pingat emas,” katanya.

Menurut beliau, tahap kesiapsiagaan kontinjen Melaka ketika ini telah mencapai kira-kira 90 peratus dengan baki persiapan sedang diperkemaskan menjelang temasya berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN