MELAKA: Melaka terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri dengan harga jualan rumah paling rendah di Malaysia sekali gus menjadi antara negeri terbaik dari segi kemampuan pemilikan rumah untuk rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama tahun 2026 yang menunjukkan harga rumah di negeri ini kekal dalam lingkungan mampu milik.
Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil peranan aktif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dalam menyelaras dan memudah cara pelaksanaan dasar perumahan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.
“Sejak tahun 2018, melalui dasar Rumah Mampu Milik (RMM), LPM telah menyelaras dan memudah cara penyediaan sebanyak 61,935 unit kediaman untuk rakyat di negeri ini.
“Apa yang lebih membanggakan, harga jualan rumah di Melaka adalah yang paling rendah di Malaysia berdasarkan laporan NAPIC bagi suku pertama tahun 2026,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Ab Rauf berkata, kadar kemampuan perumahan di Melaka juga antara yang terbaik di negara ini dengan nisbah kemampuan sekitar 3.27 berbanding purata nasional 4.39.
Menurutnya, keadaan itu turut menyumbang kepada kadar pemilikan rumah yang tinggi dalam kalangan rakyat Melaka iaitu sebanyak 85.6 peratus berbanding kadar nasional 78 peratus.
“Keistimewaan yang dimiliki Melaka ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tempatan malah turut membantu penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Melaka kerana kos pemilikan dan sewaan rumah lebih rendah berbanding kebanyakan negeri lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Skim Sewaan Untuk Dimiliki (Rent-To-Own) yang dilaksanakan kerajaan negeri berjaya membantu lebih 1,100 individu memiliki kediaman sendiri di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dan PPR Tehel.
Katanya, skim tersebut akan diperluaskan ke PPR Klebang, PPR Tangga Batu dan PPR Bukit Katil bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) akan menyerahkan bantuan pembinaan rumah baharu kepada lima penerima melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM350,000.
“Saya berharap inisiatif ini menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik dan memberi sinar harapan kepada penerima serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri komited memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri selaras dengan misi LPM iaitu ‘Satu Keluarga Sebuah Rumah’. – UTUSAN










