KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mendakwa pertukaran jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini berpunca daripada perselisihan faham antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Situasi itu berlaku ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) memberi penjelasan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) bukan seorang Ahli Parlimen Bebas, sebaliknya merupakan ahli sebuah parti politik yang berdaftar.
Takiyuddin berkata, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Poay Tiong ketika mencelah mendakwa pertukaran jawatan Ketua Pembangkang yang berlaku sebelum ini menunjukkan wujud pergaduhan antara Pas dan Bersatu.
“Ketua Pembangkang tiba-tiba tukar-menukar macam itu, itu adalah pergaduhan antara Pas dengan Bersatu. Pas buli Bersatu, sebab itu Ketua Pembangkang tukar-tukar. ‘Double standard’, tak profesional langsung,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan itu mengundang reaksi beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohd. Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta Poay Tiong supaya tidak terus membangkitkan isu berkenaan kerana penjelasan telah diberikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) turut mencelah dengan menyebut ‘lu siapa’ sebelum suasana Dewan Rakyat kembali terkawal.
Johari kemudian menegaskan, beliau telah meneliti semua dokumen dan pemakluman yang dikemukakan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang.
“Mungkin Kota Melaka datang lewat. Saya sudah jelaskan, semua dokumentasi telah saya perhalusi dan saya sahkan (Ahli Parlimen) Larut adalah Ketua Pembangkang.
“Saya harap tiada lagi perbahasan atau pertanyaan lanjut berhubung isu tersebut dan kita teruskan semula urusan Dewan,” katanya.
Terdahulu, Johari mengesahkan Hamzah kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa mulai 18 Jun lalu. – UTUSAN










