Agong perkenan lapan akta diluluskan pada sidang lalu - Utusan Malaysia

Agong perkenan lapan akta diluluskan pada sidang lalu

TAN SRI JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan lapan akta yang diluluskan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang berlangsung dari 19 Januari hingga 3 Mac lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Akta yang diperkenankan adalah Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Imigresen (Pindaan) 2025, Akta Pasport (Pindaan) 2025 dan Akta Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.

Seri Paduka turut memperkenankan Akta Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026, Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 serta Akta Perbekalan Tambahan (2025) 2026.

Johari berkata, Rang Undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 telah dipersetujui oleh Dewan Negara, namun dengan pindaan terhadap Fasal 11.

Beliau memohon supaya pindaan berkenaan dipertimbangkan semula oleh Dewan Rakyat pada satu tarikh yang akan ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

“Saya telah menimbangkan pindaan itu di bawah Peraturan Mesyuarat 73 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan saya mendapati bahawa pindaan itu menepati tujuan dewan ini serta hanya melibatkan pindaan kepada satu fasal sahaja.

“Oleh demikian, saya dengan ini memaklumkan kepada majlis akan perkara itu dan memohon majlis memerintahkan supaya pindaan itu terus dipertimbangkan oleh majlis pada satu hari yang ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat,” katanya.

Johari berkata, Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada Selasa dan Khamis dijawab oleh menteri berkaitan memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja minggu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN