WASHINGTON: Blok ekonomi Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara Teluk bersetuju membantu Amerika Syarikat (AS) meminggirkan Iran susulan serangan Teheran terhadap kapal-kapal komersial sama ada di Selat Hormuz atau sekitarnya.
Pengasingan itu dijangka memberi tekanan hebat kepada Iran yang telah lebih enam bulan berdepan dengan perang dengan AS-Israel sehingga menyebabkan, kualiti hidup kebanyakan rakyat negara tersebut semakin merosot.
Golongan elit ketenteraan dan politik Iran berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan yang dicetuskan oleh perang tersebut tanpa membuat sebarang konsesi besar terhadap prinsip ideologi mereka.
Namun, bagi sebahagian besar daripada 90 juta penduduk negara itu, kehidupan kini menjadi satu perjuangan harian sejak perang dimulakan AS-Israel pada 28 Februari sebelum gencatan senjata dilaksanakan pada April tetapi kemudian runtuh Julai lalu.
Naib Presiden AS, JD Vance, berkata, Turkiye, Azerbaijan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Qatar turut membantu AS mengambil tindakan terhadap Iran berhubung serangan ke atas kapal-kapal komersial.
Menurut Vance di Rumah Putih, Khamis, strategi lebih luas untuk menyekat sumber kewangan Iran yang boleh digunakan bagi membangunkan semula program nuklearnya, sekiranya Teheran berbuat demikian.
Beliau berkata, pentadbiran AS setakat ini belum melihat bukti Iran sedang mengambil langkah berkenaan.
Bagaimanapun, Vance tidak memperincikan bentuk atau skala kerjasama Turkiye dalam kempen tekanan yang diketuai AS itu seperti diumumkan Ogos lalu.
Awal minggu ini, dua pelaut Filipina terbunuh apabila sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi diserang di Selat Hormuz, kata syarikat perkapalan nasional Arab Saudi pada Rabu.
Pada Ahad, AS melancarkan serangan ke atas sebuah pulau milik Iran di Selat Hormuz tetapi Teheran segera bertindak balas dengan menyerang sasaran tentera Amerika di Asia Barat.
EU secara rasmi menyertai kempen sekatan diketuai AS terhadap Iran, manakala Korea Selatan berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan peranan ketenteraan bagi membantu membuka semula Selat Hormuz.
Perkembangan itu berlaku ketika Washington meningkatkan tekanan terhadap sekutunya untuk menyokong tindakannya terhadap Teheran, termasuk dari aspek kewangan dan ketenteraan.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, memuji EU kerana menyertai operasi ‘Meminggirkan Ekonomi’ Iran iaitu kempen sekatan diketuai AS yang bertujuan memutuskan akses Teheran kepada sistem kewangan global.
“Kami menghargai pendirian tegas dan awal mereka. Dunia sedang menghantar mesej jelas kepada rejim Iran, kami tidak akan berhenti sehingga setiap saluran kewangan yang masih ada diputuskan,” kata Bessent dalam hantaran di media sosial pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat selepas Brussels pada 31 Ogos menyatakan sokongannya terhadap usaha menghentikan aktiviti menggugat kestabilan’ oleh Teheran dan menyambung semula rundingan damai, termasuk melalui operasi ‘Meminggirkan Ekonomi’ bagi meningkatkan tekanan ekonomi terhadap rejim berkenaan.
Bagaimanapun, AS masih tidak mendapat sokongan China yang merupakan rakan dagangan terbesar Iran untuk melaksanakan sekatan kewangan dan ekonomi terhadap Teheran.
Ini menimbulkan kemarahan Presiden Donald Trump yang membayangkan bahawa pentadbirannya mungkin sedang bersiap untuk mengenakan sekatan terhadap bank-bank di China.
China merupakan rakan dagang terbesar Teheran, khususnya dalam sektor minyak.
Bank-bank China terus mengendalikan pembayaran berkaitan perdagangan minyak dan bentuk perdagangan lain antara kedua-dua negara.










