Chelsea ujian sebenar Arsenal

Chelsea ujian sebenar Arsenal

KEMENANGAN 1-0 ke atas Aston Villa minggu lalu, selepas membelasah Coventry City 3-0 dalam aksi pembukaan, menyaksikan Arsenal merekodkan enam perlawanan tanpa bolos dalam tujuh aksi liga terakhir. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal bakal berdepan ujian getir apabila melayan kunjungan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok, dengan kedua-dua pasukan mempertaruhkan rekod kemenangan 100 peratus setakat ini.

Dalam masa sama, Tottenham Hotspur terdesak untuk menamatkan kemerosotan prestasi apabila bertandang ke Nottingham Forest, manakala pengendali baharu Liverpool, Andoni Iraola masih memburu kemenangan pertamanya.

Arsenal, Chelsea, Manchester City dan pendatang baharu Hull City merupakan empat pasukan yang memenangi dua perlawanan pertama liga musim ini.

Arsenal yang merupakan juara bertahan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan cukup meyakinkan apabila tampil sukar ditembusi.

Kemenangan 1-0 ke atas Aston Villa minggu lalu, selepas membelasah Coventry City 3-0 dalam aksi pembukaan, menyaksikan Arsenal merekodkan enam perlawanan tanpa bolos dalam tujuh aksi liga terakhir.

Lebih menggembirakan pengendali Mikel Arteta ialah prestasi pemain sayap England, Bukayo Saka yang sudah meledak dua gol selepas kempen 2025/2026 yang terganggu akibat kecederaan.

Chelsea pula memulakan era Xabi Alonso dengan tiga kemenangan dalam semua pertandingan, selain dilihat berbahaya di bahagian serangan tetapi masih rapuh di benteng pertahanan.

Trio serangan baharu Chelsea, Joao Pedro, Cole Palmer dan Morgan Rogers menyumbang lima daripada tujuh gol pasukan dalam kemenangan ke atas Fulham dan Brighton.

Namun, Alonso yang pernah mengendalikan Bayer Leverkusen dan Real Madrid pastinya mahu memperkemaskan benteng Chelsea yang sudah dibolosi lima gol dalam dua perlawanan liga tersebut.

Rekod pertemuan terkini juga memihak kepada Arsenal apabila Chelsea gagal mencatat kemenangan dalam sembilan perlawanan EPL menentang The Gunners, menjelang pertembungan di Emirates pada Ahad.

Pengendali Tottenham, Roberto De Zerbi yakin pasukannya mampu mengelak daripada sekali lagi terjebak dalam perlumbaan mengelak penyingkiran meskipun permulaan musim kali ini amat mengecewakan.

Kelab utara London itu yang menamatkan saingan di tangga ke-17 dalam dua musim berturut-turut, tewas 0-3 kepada Brentford dalam aksi pembukaan sebelum kecundang 0-2 kepada Newcastle.

Tottenham membelanjakan lebih 350 juta pound (RM1.9 bilion) dalam jendela perpindahan musim panas sebagai usaha untuk melakukan perubahan besar, termasuk mendapatkan pemain berprofil tinggi seperti Sandro Tonali, Mateus Fernandes dan Savio.

Bagaimanapun, masih belum banyak petanda menunjukkan keadaan semakin baik menjelang kunjungan ke City Ground menentang Nottingham Forest hari ini, pasukan yang menewaskan mereka dua kali musim lalu.

“Selepas dua kekalahan, mungkin ada yang beranggapan ia cerita yang sama seperti dua musim lalu. Saya tidak ragu-ragu bahawa keadaan kali ini berbeza. Saya tidak akan mengubah pandangan hanya kerana dua kekalahan. Saya sangat, sangat yakin dengan kualiti pemain saya,” katanya.

Pengendali baharu Liverpool, Iraola masih menunggu kemenangan pertama selepas pasukannya hanya mampu mencatat keputusan seri ketika menentang Newcastle dan Nottingham Forest.

Penyerang Perancis, Bradley Barcola dijangka melakukan penampilan sulung bersama Liverpool ketika menentang pendatang baharu Ipswich pada Jumaat selepas menyertai kelab itu dari Paris Saint-Germain minggu ini dengan nilai perpindahan sehingga 124 juta pound (RM672 juta).

Pemain sayap itu menjadi tambahan terbaharu kepada barisan serangan Liverpool yang dibentuk dengan kos tinggi dan turut dibarisi Alexander Isak, Florian Wirtz serta Hugo Ekitike yang kini mengalami kecederaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×