UPM lancar blueprint kesihatan planet

UPM lancar blueprint kesihatan planet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint sebagai komitmen universiti memperkukuh agenda kelestarian dan kesihatan planet menerusi penyelidikan, inovasi serta kerjasama pelbagai pihak.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, pelancaran blueprint itu membuktikan kesungguhan UPM dalam terjemahkan ilmu dan kepakaran universiti kepada impak yang memberi manfaat kepada negara serta masyarakat.

Azlinda berkata, universiti awam tidak lagi boleh bergerak secara silo, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan negara dan penyelesai masalah komuniti yang semakin kompleks.

“Universiti tidak boleh hanya fokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Setiap peruntukan yang diterima perlu diterjemahkan kepada impak nyata kepada landskap nasional dan global.

“Tema Bulan Sinergi Putra 2026 iaitu Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan menunjukkan komitmen berani UPM dalam membawa hasil penyelidikan dan inovasi kampus kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Bulan Sinergi Putra 2026 baru-baru ini

Beliau berkata, pelancaran blueprint kesihatan planet itu juga bertepatan dengan keperluan semasa ketika dunia berdepan pelbagai cabaran berkaitan perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan isu kelestarian.

Katanya, UPM mempunyai peranan penting dalam menawarkan penyelesaian berasaskan penyelidikan bagi membantu negara menangani isu tersebut.

“Melalui pelancaran blueprint ini, saya berharap UPM dapat menawarkan formula dan model rujukan kelestarian yang lebih komprehensif bagi menghadapi cabaran semasa.

“Blueprint ini juga berpotensi menjadi rujukan kepada institusi pengajian tinggi lain dalam memperkukuh agenda kesihatan planet dan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata, Bulan Sinergi Putra 2026 merupakan kemuncak kepada pelbagai usaha strategik yang dilaksanakan UPM bagi menyelaraskan sasaran KPI Interim 2026 dan Pelan Strategik UPM 2026-2030.

Katanya, pelaksanaan agenda universiti perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar dan tidak sekadar menjadi dokumen perancangan.

“Cabaran terbesar mana-mana organisasi selepas merangka pelan strategik ialah pelaksanaannya. Bulan Sinergi Putra 2026 menjadi jawapan UPM untuk memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada universiti, masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN