Untung MCE naik kepada RM9.79 juta pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Untung MCE naik kepada RM9.79 juta pada suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCE Holdings Berhad (MCE) mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 54.64 peratus kepada RM9.79 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2026, berbanding RM6.33 juta yang direkodkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

Prestasi kukuh itu disokong oleh hasil sebanyak RM43.50 juta, meningkat 18.18 peratus daripada RM36.80 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh pengiktirafan yuran reka bentuk dan pembangunan berkaitan model kenderaan yang baru dilancarkan.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM140.60 juta, meningkat 25 peratus berbanding RM112.51 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Dr. Goh Kar Chun berkata, keputusan kewangan kukuh yang dicapai pada suku ini menunjukkan keupayaan syarikat untuk terus mengembangkan perniagaan walaupun sedang melaksanakan proses peningkatan kapasiti dan pentauliahan MCE Auto Hub secara berterusan.

Katanya, ia mencerminkan kekuatan program pelanggan kumpulan serta pelaburan yang telah dibuat bagi menyokong pertumbuhan masa depan.

“Dengan MCE Auto Hub kini beroperasi, kumpulan telah memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan, sekali gus membolehkan kami menyokong pembangunan elektronik automotif yang lebih canggih serta merebut peluang hasil daripada pengukuhan penyetempatan rantaian bekalan automotif,” katanya.

MCE dan anak-anak syarikatnya merupakan pembekal elektronik automotif Tier-1 yang mempunyai keupayaan reka bentuk dan pembangunan dalaman serta menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN