KANGAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri perlu membuktikan keabsahan kerajaan tersebut selepas kerjasama politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berakhir.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, situasi dalam kerajaan negeri ketika ini menunjukkan Bersatu dalam keadaan minoriti dengan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berbanding Pas (enam).
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar, apabila kumpulan minoriti mentadbir dikhuatiri ia bakal menimbulkan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.
“Apa yang menjadi persoalan mengenai keabsahan kerajaan negeri selepas Pas dan Bersatu putus. Jika kerajaan negeri boleh membuktikan keabsahan tersebut, sila teruskan pentadbiran seperti biasa.
“Ia turut akan memberi kesan kepada perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak jika berlaku sebarang undi tidak percaya dan sebagainya yang sekali gus mengundang ketidakstabilan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mesyuarat Pas pusat kelmarin bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status kerajaan negeri-negeri dikuasai PN terutama di Perlis.
Komposisi dalam DUN Perlis ketika ini menyaksikan Pas mempunyai enam wakil rakyat, Bersatu (;ima) dan Pakatan Harapan (satu). Manakala tiga ADUN Pas iaitu Guar Sanji, Bintong dan Chuping dikenakan tindakan pengguguran keahlian dengan kes kekosongan kerusi masih di peringkat mahkamah.
Sementara itu, Fathul Bari berkata, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebelum ini telah mengingatkan agar kestabilan kerajaan negeri perlu dipelihara sehingga habis penggal.
“Jadi, kerajaan negeri perlu membuktikan keabsahan tersebut bagi memastikan kestabilan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










