Jangan biarkan rundingan politik berakhir dengan ‘40-0’

Jangan biarkan rundingan politik berakhir dengan ‘40-0’

AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan UMNO diingatkan supaya tidak membiarkan sebarang rundingan politik termasuk dengan Pas berakhir dengan keputusan ‘40-0’ sehingga menjejaskan kepentingan parti.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, setiap rundingan perlu dilakukan secara matang dan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya, dalam rundingan bersama pihak berkenaan, beliau turut meminta pucuk pimpinan supaya mengambil kira kedudukan UMNO Terengganu.

“Berkira-kira juga Datuk Seri. Jangan nanti berakhir dengan 40-0. Apabila berunding dengan pihak yang satu lagi itu, berhati-hati Datuk Seri. Fikir-fikirkan juga kami.

“Berkira biar matang, berunding biar tenang. Jangan seorang sahaja menang, biar bersama-sama senang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Razif berkata demikian ketika menyentuh gagasan Kolaborasi Agung yang pernah diketengahkan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 serta persefahaman politik UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, persefahaman politik bersama Pas juga mungkin dilaksanakan pada PRN Melaka akan datang.

“PAU yang lalu, Datuk Seri telah melontarkan gagasan Kolaborasi Agung.Yang terbaharu, Tafahum Siyasi atau persefahaman politik iaitu untuk mengelakkan pertembungan dalam menghadapi pilihan raya yang merugikan semua parti seperti yang dilakukan di Negeri Sembilan dan seterusnya di Melaka.

“Persefahaman itu persefahaman juga, tetapi jangan tergadai habis,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Razif memberi jaminan bahawa UMNO Terengganu akan terus patuh dan setia kepada keputusan Presiden serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Kami tidak akan sesekali menjadi gunting dalam lipatan. Kami tidak akan menikam bahtera dari dalam.

“UMNO Terengganu kini sedang menyusun barisan, merapatkan saf dan melipatgandakan khidmat bakti untuk kembali bangkit serta menebus maruah parti di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×